Doktor menasihatkan agar bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak menjalani pembedahan patah tulang pinggul berikutan risiko komplikasi disebabkan faktor usia, kata anaknya Mukhriz Mahathir.
Mukhriz yang juga presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, keluarganya menerima nasihat pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) serta Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) supaya Mahathir menjalani proses pemulihan biasa, yang dijangka mengambil masa.

"Oleh kerana keadaan kesihatan beliau, tentulah kena ambil masa sikit, itu pun dalam dua tiga minggu juga untuk beliau (Dr Mahathir) berehat kerana faktor usia beliau mencecah 100 tahun.
"Pembedahan bukan satu opsyen yang baik. Kita telah dinasihatkan pakar-pakar Institut Jantung Negara (IJN), UKM untuk beliau melalui satu proses pemulihan biasa yang akan memakan masa sedikit.
“Ini supaya beliau boleh kembali sihat seperti biasa dan boleh kembali bertugas seperti sebelum ini,” katanya menerusi satu video yang diterbitkan hari ini yang dirakamkan di ibu pejabat Pejuang, di Kuala Lumpur.
Mukhriz berkata, pada masa yang sama, semua pihak diminta memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk bekas perdana menteri selama dua kali itu untuk berehat dan pulih sepenuhnya.
Semalam, Mahathir dibawa ke IJN di Kuala Lumpur selepas terjatuh di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor.
Pembantunya, Sufi Yusoff, mengesahkan kepada media bahawa Mahathir memerlukan beberapa minggu untuk menjalani rawatan dan pemantauan di hospital.
Dia turut menjelaskan kejadian sekitar jam 9 pagi itu, Mahathir sedang “bergerak” dari balkoni ke ruang tamu, dan bekas perdana menteri dua kali itu kekal sedar sebelum dikejarkan ke hospital.
Mahathir kali terakhir dimasukkan ke IJN pada Julai tahun lalu selepas mengalami keletihan ketika menghadiri satu majlis di Putrajaya. Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100.
