Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM giat kesan aset Maju Holdings di luar negara
Diterbitkan:  Jan 7, 2026 8:53 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses mengesan aset di luar negara yang dikaitkan dengan pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata agensi itu bekerjasama dengan pihak berkuasa luar negara, termasuk agensi berpangkalan di United Kingdom, International Anti-Corruption Coordination Centre.

“SPRM sedang bekerjasama dengan agensi luar negara terutama dari United Kingdom (UK) bagi mendapatkan kembali aset berkenaan yang dijangka membabitkan jumlah lebih besar.

"SPRM juga telah menyediakan draf kepada Jabatan Peguam Negara untuk memohon maklumat daripada pihak luar negara termasuk daripada The International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) dari UK," katanya seperti dipetik media tempatan hari ini.

Azam menjelaskan usaha mengesan aset di luar negara merupakan satu proses yang menyeluruh dan memerlukan penyelarasan rapat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta pematuhan ketat terhadap prosedur di bawah bantuan perundangan bersama (mutual legal assistance, MLA).

Menurutnya, SPRM telah menyediakan draf dokumen untuk dikemukakan kepada AGC bagi memohon secara rasmi maklumat daripada pihak berkuasa asing.

Pada 8 Sept tahun lalu, Abu Sahid mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang melibatkan RM313 juta.

Dia juga berdepan 13 pertuduhan lain di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfpua) melibatkan RM139 juta berkaitan konsesi lebuh raya MEX II.

Pemimpin Bersatu hanya saksi

Sementara itu, Azam menafikan khabar angin bahawa Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad merupakan suspek dalam kes MEX II.

Katanya pemimpin Bersatu itu hanyalah seorang saksi, memaklumkan Adam telah memberi kerjasama dengan merakamkan percakapannya bersama SPRM pada Disember lalu.

Jelasnya Adam membantu siasatan dengan menjelaskan bagaimana dana berkenaan diagihkan kepada pihak-pihak lain.

Dia berkata Adam telah pulang ke Malaysia dari United Kingdom pada Disember dan bebas untuk keluar masuk negara.

Azam turut mengingatkan bahawa siasatan masih dijalankan terhadap kira-kira 30 individu setakat ini.

Dia berkata pasukannya akan terus melaksanakan usaha di dalam dan luar negara bagi memastikan pertanggungjawaban menyeluruh serta pemulihan aset dapat dilakukan.

Selain Abu Sahid, dua individu yang berkaitan dengan konsesi lebuh raya MEX II turut mengaku tidak bersalah terhadap keseluruhan 35 pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

Isterinya, Noor Azrina Azmi, turut didakwa di bawah undang-undang yang sama kerana menerima RM67 juta hasil daripada kegiatan haram.

Bekas pengarah MEX II, Yap Wee Leong, pula dikenakan 17 pertuduhan pemalsuan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM314.5 juta berkaitan kemajuan projek lebuh raya tersebut.

Projek lebuh raya MEX II yang belum siap itu mula dibina pada 2016 dan pada asalnya dijadualkan siap pada penghujung 2019.

Abu Sahid didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengarah Maju Holdings untuk menyalahgunakan dana syarikat berjumlah RM313 juta di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku antara 3 Mei hingga 22 Nov 2016, 20 Jan hingga 27 Nov 2017, 8 Jan hingga 30 Nov 2018, serta 21 Okt 2019.

Pertuduhan pengubahan wang haram pula dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA) melibatkan jumlah RM139 juta.

Di bawah pertuduhan itu, dia didakwa memindahkan RM139 juta daripada akaun peribadi CIMB miliknya ke akaun lima individu dan lima syarikat, selain mengeluarkan wang tersebut melalui 15 cek.

Abu Sahid didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam 19 kejadian berasingan antara 4 Mei 2016 hingga 20 Okt 2019, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai hasil terbabit atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Dia sekali lagi didakwa pada 24 September di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dengan dia mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyalahgunakan dana berjumlah RM145.5 juta yang diamanahkan kepadanya sebagai pengarah Maju Holdings.

Dana berkenaan dilaporkan dipindahkan ke sebuah syarikat pembinaan antara 12 Jan hingga 13 Jun 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS