Paling Popular
Terkini

Di celah-celah sisa rumah yang pernah berdiri – dan dirobohkan – di Kampung Papan, Pandamaran, Pelabuhan Klang, kehidupan baru muncul dengan bentuknya perlahan-lahan.

Tiga blok yang masing-masing mengandungi sembilan bilik bersaiz 8 kali 8 kaki serta dua pondok ringkas kini berdiri di atas sebuah lot yang masih dipenuhi runtuhan rumah yang dimusnahkan baru-baru ini.

Struktur kecil itu menjadi simbol usaha penduduk setempat dan kemurahan hati orang ramai.

Walaupun sangat asas, dengan bekalan elektrik dan tandas minimum, binaan tersebut memberi sedikit harpaan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal masing-masing.

Usaha itu dipacu oleh Low Siew Lam, seorang penduduk yang rumahnya terselamat daripada perintah perobohan.

Didorong rasa simpati terhadap jiran-jirannya, Low mengikuti proses perobohan selama lima hari itu dari dekat, memberikan sokongan dan bantuan di mana sahaja yang mampu.

Setiap hari, dia kembali ke tapak tersebut untuk membantu menyelenggara tempat perlindungan kecil berkenaan serta menyelaras bantuan sukarelawan, sambil mengeratkan hubungan dalam komuniti yang kecil tetapi tabah.

Low Siew Lam

Ramai sukarelawan muda dari luar kawasan turut tampil membantu, menyumbang tenaga bagi sesuatu yang mustahil dilakukan sendirian oleh warga emas yang terkesan akibat perobohan.

Hasil usaha itu, kawasan yang sebelum ini penuh runtuhan berubah menjadi ruang perlindungan sederhana dan harapan bersama.

Bercakap kepada Malaysiakini, Low berkata, proses pembinaan itu mengambil masa kira-kira tiga minggu dan dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan orang ramai yang berjumlah RM8,000.

“Ia memang menyedihkan. Sepanjang lima hari perobohan itu, saya ikut pemaju, polis, sesiapa saja – saya ikut mereka.

“Melihat apa yang berlaku, saya rasa simpati. Walaupun itu bukan rumah saya, saya tetap sedih melihatnya,” kata suri rumah berusia 55 tahun itu sambil menahan sebak.

Guna semua saluran bantahan

Jika bukan kerana kes mahkamah melibatkan rumahnya, kata Low, rumah dia juga akan dirobohkan.

Low yang juga pengerusi persatuan penduduk berkata, tanah tempat rumah sementara itu dibina milik jiran sebelahnya yang bersetuju membenarkan penduduk terjejas tinggal di situ tanpa sebarang bayaran.

Namun, walaupun struktur fizikal telah didirikan, cabaran politik masih berlarutan. Ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) Klang, Sivasundram Nadarajah, berkata walaupun wujud usaha komuniti, penyelesaian muktamad masih tidak pasti memandangkan enam menteri besar Selangor gagal menyelesaikan isu di situ.

Justeru, katanya, mereka tidak pasti jika pentadbiran sekarang akan mampu berbuat demikian.

“Harapan penduduk di sini adalah untuk penyelesaian secepat mungkin,” katanya.

Menurut Sivasundram, penduduk telah menggunakan semua saluran rayuan dan bantahan, manakala PSM melakukan apa sahaja yang mampu untuk membantu mereka.

November lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pertikaian tanah yang berlarutan di Kampung Papan menjadi kusut dari segi undang-undang selepas pihak terlibat membawa perkara itu ke mahkamah dan bukannya mencapai kompromi, sekali gus menggagalkan usaha penyelesaian kerajaan negeri.

Katanya, walaupun kerajaan cuba menjadi orang tengah, kedua-dua pihak enggan mencapai persetujuan, menyebabkan kes diteruskan di mahkamah.

Ia berakhir dengan keputusan memihak kepada pemaju, Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd (Melati Ehsan).

Janji pernah dibuat

Ketiadaan penyelesaian jelas itu menambah kebimbangan penduduk yang sedar keselamatan mereka masih tidak terjamin walaupun tapak tersebut kini dipenuhi semangat kebersamaan dan kerja keras.

Seorang penduduk, Ang Boon Hai, 63, meluahkan rasa kecewa dan putus asa, namun berkata dia sudah menerima apa yang berlaku sebagai takdir.

Ditanya tentang penyelesaian yang diharapkan, pesara juruteknik itu menjawab dengan nada pilu: “Tak guna saya berharap. Saya tak boleh buat apa-apa.”

Penduduk melancarkan rumah sementara itu pada 1 Jan lalu sebagai satu bentuk protes terhadap kerajaan Selangor yang mereka anggap gagal menunaikan janji perumahan.

Ia susulan tindakan pemaju yang merobohkan rumah berpenghuni dan tidak berpenghuni di petempatan itu pada Nov tahun lalu, walaupun kerajaan negeri sebelum ini berjanji hanya struktur kosong akan dirobohkan.

Menurut jawatankuasa penduduk, 29 unit berpenghuni dirobohkan sepanjang operasi lima hari itu yang turut menyaksikan 11 penduduk, ahli PSM dan aktivis ditahan polis.

Sebelum ini, kerajaan Selangor dilaporkan berjanji membina rumah baru bagi menempatkan semula penduduk Kampung Papan yang terjejas.

Selepas perobohan, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata berdasarkan perjanjian antara kerajaan negeri Selangor ketika di bawah BN dan pemaju yang dilantik untuk menghidupkan semula projek perumahan terbengkalai – TPPT Sdn Bhd (TPPT) – keluarga terlibat dijanjikan rumah sekiranya syarikat itu mengambil alih tanah tersebut.

“Pada 1995, kerajaan Selangor memindahkan 95 ekar (38.5 hektar) tanah itu kepada TPPT, anak syarikat Bank Negara Malaysia, dan pada 2007 TPPT membawa masuk Melati Ehsan untuk membina rumah.

“Namun, hampir tiga dekad kemudian, keluarga di Kampung Papan masih belum menerima rumah teres dua tingkat yang dijanjikan, yang sepatutnya dijual kepada mereka pada harga RM99,000,” kata Charles.

Teoh Ah Guat

Setakat ini, penduduk masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri atau pemaju berhubung nasib mereka.

Ditanya langkah seterusnya, Low berkata mereka akan terus membantah sehingga mendapat kepastian.

Seorang lagi penduduk, pesara kerani Teoh Ah Guat, 63, berkata apa yang dimahukan penduduk hanyalah apa yang telah dijanjikan kepada mereka.

“Hingga sekarang, kami terpaksa cari jalan untuk terus hidup di sini,” katanya.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS