PAS hari ini menzahirkan rasa tidak senang parti itu terhadap langkah Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, membuat tawaran terbuka kepada Adun mereka untuk menyertai exco kerajaan negeri.
Menganggap langkah Abu Bakar itu sebagai “kurang sesuai”, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu sudah menyatakan pendirian mereka lebih awal untuk enggan menjadi exco Perlis.
Kata Ahmad Fadhli, sepatutnya Abu Bakar sudah maklum kedudukan PAS di negeri berkenaan dan pelawaan terbuka itu tidak perlu dinyatakan.
“Macam nak tarik Adun-Adun kita (PAS) secara personal (peribadi) untuk masuk kerajaan,” katanya kepada media di Pasir Mas, Kelantan hari ini.
Rakaman audio sidang media itu diperolehi Malaysiakini.
Dia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas hadir di majlis perasmian kedai Mydin Mart di situ. Turut hadir Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin Mohamed.

Kata Ahmad Fadhli dia berpendapat adalah lebih baik Abu Bakar berjumpa dengan pemimpin PAS untuk berbincang kerana ia lebih wajar berbanding membuat tawaran terbuka.
“Kalau nak buat kenyataan terbuka (sebegitu), saya pun boleh… Jemput Datuk Seri Saifuddin (Abdullah), Datuk Wan Saiful (Wan Jan) masuk PAS sebab mereka dah kena buang dalam Bersatu.
“Tapi saya tak buat begitu,” katanya merujuk kepada dua ahli parlimen yang dipecat Bersatu baru-baru ini.
Semalam Abu Bakar dilaporkan tetap mempelawa Adun PAS untuk menyertai barisan exco yang mahu dibentuknya sebelum mereka mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Tak tarik parti rakan sendiri
Ia berlaku selepas insiden yang menyaksikan ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Shukri Ramli, melepaskan jawatan sebagai menteri besar ekoran tindakan tiga Adun parti terbabit menandatangani perakuan berkanun (SD) sebagai tanda tidak percaya lagi kepadanya.
PAS kemudian memberhentikan keanggotaan parti ke atas ketiga-tiga Adun terbabit. Mereka ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Insiden itu juga menyaksikan pertelingkahan dalaman PAS melibatkan kumpulan yang menyokong tindakan berkenaan serta Dewan Ulama PAS Perlis yang mempertahankan ketiga-tiga Adun terbabit.
Pada masa sama hubungan PAS dengan Bersatu juga sempat tegang dengan Ketua Pemuda PAS Pusat, membuat kenyataan keras termasuk menggunakan perkataan “berambus” untuk pihak tertentu yang dianggap sebagai “pengkhianat.”
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, PAS beranggapan tiada keperluan untuk DUN Perlis dibubarkan kerana PN masih mempunyai majoriti.
Tindakan PAS tidak menyertai kerajaan negeri pula, katanya, tidak menggugat pentadbiran semasa.
“Kita (PAS) tak sama dengan sesetengah parti yang hantar SD untuk tarik (jatuhkan) MB dari parti rakan sendiri,” katanya menyindir.
