Paling Popular
Terkini

Jawatan Kuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) bagi keselamatan akan memanggil Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memberi penjelasan mengenai skandal yang menyelubungi pasukan keselamatan negara.

Keputusan itu dibuat susulan penahanan bekas Panglima Tentera Darat, Hafizuddeain Jantan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah serta dakwaan aktiviti tidak bermoral dalam pangkalan tentera.

Menurut Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang merupakan ahli PSSC, kes-kes ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan negara dan kemungkinan ancaman terhadap pertahanan Malaysia.

"Sebagai ahli PSSC untuk keselamatan, saya pagi ini dah hubungi pengerusinya, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan (Yasin). Dia pun setuju untuk panggil Mindef, pegawai-pegawai yang berkenaan untuk disoal oleh jawatankuasa," kata pemimpin DAP itu kepada Malaysiakini.

Lim berkata sesi pendengaran itu mungkin diadakan paling awal minggu depan.

ATM menjadi buah mulut kebelakangan ini selepas Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, mendakwa hasil semakan dokumen forensik yang diterimanya tanpa nama menunjukkan kemasukan wang setiap bulan berjumlah puluhan ribu ringgit ke akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.

Dakwaan itu menyebabkan pelantikan Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan, walaupun perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Angkatan Tentera dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 27 Dis lalu, Hafizuddeain diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pegawai berpangkat empat bintang itu bersama dua isterinya ditahan SPRM semalam dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah reman pagi ini.

Selain itu ATM turut dicemari skandal lain selepas timbul dakwaan di media sosial bahawa pegawainya terlibat dalam parti liar yang dianjurkan di dalam kawasan pangkalan tentera.

Beberapa pengguna media sosial turut menyiarkan gambar-gambar acara tersebut yang digelar sebagai 'Parti Yeye' dan mendesak pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Ada dalam kalangan netizen turut mendakwa pegawai berpangkat rendah dipaksa menyediakan minuman keras dan membawa wanita dari luar kem untuk pegawai atasan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS