Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamas sedia permudah serah pentadbiran Gaza kepada badan bebas
Diterbitkan:  Jan 9, 2026 9:17 AM
Dikemaskini: 1:17 AM

Kumpulan Palestin Hamas pada Khamis menyatakan kesediaan memudahkan pemindahan tanggungjawab pentadbiran di Semenanjung Gaza kepada sebuah jawatankuasa bebas, sambil menegaskan yang ia tidak berhasrat untuk terlibat dalam sebarang pengaturan tadbir urus masa depan di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Hamas Hazem Qassem berkata kumpulan itu sedang menunggu pembentukan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyelia pentadbiran Gaza merangkumi pelbagai sektor, sambil menyatakan yang cadangan itu menerima sokongan Hamas serta beberapa puak Palestin lain.

Beliau berkata pergerakan itu akan memudahkan proses penyerahan dan menyokong kerja jawatankuasa berkenaan, sambil menegaskan yang Hamas sudah lama memutuskan untuk berada di luar sebarang rangka kerja pentadbiran bagi mengurus wilayah itu.

Kenyataan itu dibuat hasil keputusan yang diterima pakai pada sidang kemuncak tergempar Arab mengenai Gaza pada Mac 2024, yang menolak sebarang bentuk pemindahan paksa rakyat Palestin serta menyokong pelan pembinaan semula Gaza oleh Mesir sebagai inisiatif Arab bersama.

Pelan itu membayangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pentadbiran sementara untuk mentadbir Gaza sepanjang tempoh peralihan selama enam bulan.

Badan itu akan bersifat bebas, dianggotai teknokrat bukan berpuak dan beroperasi di bawah kuasa kerajaan Palestin, satu pengaturan yang disambut baik oleh Hamas pada ketika itu.

Kenyataan Hamas itu juga menyusul laporan oleh laman berita Israel, Times of Israel bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dijangka mengumumkan fasa kedua cadangannya mengenai Gaza pada minggu depan, walaupun terdapat bantahan yang dilaporkan dari pihak Israel.

Laporan itu menyatakan Trump merancang untuk mengumumkan penubuhan sebuah “majlis keamanan” dan badan pentadbiran lain yang ditugaskan untuk mentadbir Gaza selepas kelewatan beberapa minggu.

Sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt, tentera Israel melakukan ratusan pelanggaran, mengorbankan 424 rakyat Palestin dan mencederakan 1,189 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan.

Gencatan senjata itu menamatkan perang Israel selama dua tahun yang mengorbankan hampir 71,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 171,200 yang lain sejak Oktober 2023, serta menyebabkan kemusnahan wilayah itu.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS