Jabatan Peguam Negara (AGC) dituntut menjelaskan mengapa ia memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil terhadap kes pengubahan wang haram Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Gesaan itu dibuat memandangkan Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan wujud kes prima facie terhadap Zahid bagi 47 pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Antara yang menuntut penjelasan ialah bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya yang mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan AGC itu.
“AGC membuat percubaan yang lemah dan menyedihkan untuk menjelaskan keputusan NFA. Namun, mereka langsung tidak menjelaskan mengapa satu kes yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sequerah sebagai mempunyai kes prima facie kini digugurkan.

“Adakah Zahid akan menerima layanan istimewa sebegini jika dia bukan timbalan perdana menteri?
"Adakah Zahid akan menerima layanan istimewa sebegini jika dia bukan sekutu politik penting kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim?
“Keseluruhan perkara ini 'berbau busuk sampai ke langit' (amat ketara). Ada sesuatu yang rotten (tidak kena) di Putrajaya,” kata peguam pengasas NGO Lawyers For Liberty itu melalui hantaran X hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata pengumuman AGC mengenai keputusan NFA terhadap Zahid tidak mempunyai asas yang kukuh.

“Kenyataan AGC (yang jelas mengumumkan NFA) itu kekurangan kebenaran dan sekadar satu pernyataan umum bahawa ia kini berpuas hati perkara ini tidak wajar diteruskan.
“Dalam keadaan ini, AGC mesti menjelaskan mengapa ia kini berpendapat dapatan prima facie Mahkamah Tinggi terhadap Zahid tidak lagi mempunyai nilai, sedangkan dapatan itu dibuat berdasarkan bukti yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan sendiri di mahkamah.
“Dengan segala hormatnya, kegagalan AGC memberikan penjelasan yang memuaskan berkemungkinan akan terus menghakis keyakinan terhadapnya dan ini sesuatu yang tidak wajar,” katanya yang juga peguam pada satu kenyataan malam tadi.
Prima facie merupakan istilah Latin yang dalam konteks mahkamah bermaksud terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong sesuatu kes.

Pada Januari 2022, Hakim Colin Lawrence Sequerah memerintahkan Zahid membela diri dalam kes Yayasan Akalbudi selepas mendapati wujud kes prima facie.
Sequerah juga hakim sama yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes rasuah 1MDB pada akhir Disember lalu.
Walaupun pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid, namun mereka memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada April 2023, atas alasan siasatan lanjut diperlukan.
Kemudian, semalam, AGC mengumumkan hasil siasatan lanjut tersebut membawa kepada keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

“Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru yang diperolehi hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut, jabatan ini, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut,” menurut kenyataan AGC.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam Rafique Rashid Ali yang juga pemimpin Pejuang (gambar bawah) turut mengemukakan persoalan sama berhubung kaitan antara kedudukan Zahid dan keputusan NFA tersebut.
Dia juga mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dibiarkan untuk diputuskan oleh mahkamah.
“Sekarang Peguam Negara kata tiada kes. No Further Action(NFA) selepas 26 bulan. Maknanya tiada kes.

“Semuanya lepas Zahid jadi TPM pada PMX.
“Mengapa tidak bawa ke hadapan hakim yang sama?
"Bukankah lebih elok mahkamah yang tentukan? Rakyat melihat," katanya pada satu kenyataan, semalam.
