Ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahun baru pada 5 Januari lalu dengan ikrar untuk memperkukuhkan pelaksanaan reformasi pada tahun ini, ia dilihat sebagai isyarat kepada penyokong PH agar tidak hilang keyakinan terhadap kepimpinan dan pentadbiran kerajaan.
Namun, sentimen positif daripada pengumuman tersebut dilihat pudar selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) malam tadi mengumumkan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.
Kini timbul persoalan mengapa keputusan NFA dibuat sedangkan Mahkamah Tinggi sebelum ini telah memutuskan wujud kes prima facie terhadap Zahid atas pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana puluhan juta ringgit Yayasan Akalbudi.
Turut dipersoalkan ialah kebetulan masa pengumuman itu, yang hanya beberapa hari selepas Zahid bertegas dan memberi jaminan bahawa Umno akan kekal bersama kerajaan sehingga tamat penggal — ketika wujud desakan lantang yang diketuai Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, supaya parti itu keluar daripada kerajaan dan menyertai pembangkang.

Sama ada kebetulan atau sebaliknya, persepsi terhadap kerajaan adalah buruk.
Dan bukan Anwar sahaja yang terkesan. DAP - yang sepatutnya menjadikan pengumuman Perdana Menteri pada Isnin lalu sebagai bukti bahawa parti itu menunaikan janji untuk melaksanakan reformasi - juga bakal berdepan soalan sukar daripada penyokongnya.
Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor madya Dr Syaza Shukri, berpandangan kerajaan mungkin menjangkakan perutusan Anwar pada Isnin lalu dapat meredakan keputusan membebaskan Zahid.

“Mungkin kerajaan beranggapan pengumuman reformasi mampu meredakan kritikan langkah NFA (terhadap Zahid), namun hakikatnya sentimen positif daripada pembaharuan itu sendiri tidak pernah benar-benar dirasai sejak awal,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata pengumuman Anwar pada Isnin itu juga tidak diterima secara menyeluruh, dengan orang ramai mempersoalkan pelbagai perkara termasuk perancangan pelaksanaannya.
Justeru, katanya, perkembangan terbaru ini hanya mengukuhkan tanggapan sinis bahawa pentadbiran Kerajaan Madani tidak benar-benar komited, khususnya dalam usaha memerangi rasuah.
“Persepsinya ialah reformasi hanya menyasarkan rakyat, sedangkan golongan elit masih terlepas,” katanya.
Penasihat utama Pusat Penyelidikan Pasifik, Oh Ei Sun, turut menyuarakan pandangan sama, dengan menyatakan bahawa keputusan NFA terhadap Zahid mengukuhkan persepsi dalam kalangan penyokong PH bahawa janji reformasi dan agenda antirasuah hanyalah slogan kosong ketika gabungan itu menjadi pembangkang, dan semakin hambar apabila memegang kuasa.
“Masanya memang kelihatan sangat tidak sesuai, apatah lagi selepas pengumuman reformasi dan sabitan terhadap Najib Razak,” katanya, merujuk kepada Najib yang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion berhubung skandal 1MDB.

Oh merupakan bekas setiausaha politik Najib.
Mengulas mengenai DAP, Oh berkata parti itu perlu memberi penjelasan kepada para penyokongnya.
“DAP perlu terlebih dahulu menjelaskan kepada penyokongnya mengapa ramai individu lain yang dikaitkan dengan kerajaan ini dilepaskan, sedangkan kes Lim Guan Eng masih berjalan,” katanya.
Lim, yang juga penasihat DAP, kini dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah melibatkan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau dengan tanah besar.
Syaza pula berkata mungkin tidak banyak yang boleh dilakukan DAP untuk menjelaskan keputusan NFA tersebut.
“Saya tidak pasti bagaimana lagi DAP dan kerajaan boleh menjelaskan atau mempertahankan perkara ini.
“Saya rasa mereka akan menggunakan jawapan lazim bahawa mereka tidak terlibat dalam keputusan itu, tetapi secara jujurnya hujah tersebut sukar diterima dan sebaliknya hanya menambah persepsi bahawa wujud akauntabiliti terpilih,” katanya.
