Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjara, denda menanti individu bersalah hisap vape di Pahang

Individu yang didapati bersalah menghisap vape atau rokok elektrik di Pahang boleh dikenakan hukuman denda dan penjara bermula tahun ini.

Hal itu kerana perbuatan tersebut melanggar ketetapan dikeluarkan Majlis Fatwa Pahang dan diluluskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri selepas mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Jun tahun lalu.

Adun lantikan Pahang, Ahmad Irshadi Abdullah, menjelaskan hukuman terhadap individu yang didapati melanggar fatwa berkenaan adalah mengikut Enakmen Jenayah Syariah Pahang 2013.

"Berdasarkan seksyen 13 (c) enakmen tersebut pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Hukuman ini adalah jelas seperti yang terkandung dalam enakmen syariah negeri dan merujuk kepada keputusan dibuat majlis fatwa serta diperkenan Sultan Pahang.

"Ia adalah sejajar dengan titah Al-Sultan Abdullah pada Nov 2024 yang mahu penggunaan vape diharamkan secara total," katanya.

Ahmad Irshadi Abdullah

Al-Sultan Abdullah semasa majlis pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2024 dilaporkan bertitah mahu agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara menyeluruh di negeri berkenaan.

Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad, dalam satu sidang media pada 11 Jun 2025 memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di Pahang bermula tahun ini.

Dia menjelaskan, fatwa pengharaman penggunaan vape itu adalah dari Pejabat Mufti Pahang.

"Fatwa itu dimaklumkan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang pada 3 Mac lalu melalui satu kertas yang dihantar oleh Pejabat Menteri Besar mengenai penggunaan vape dalam kalangan masyarakat masa kini.

"Kerajaan negeri mengambil maklum dan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 14 Mei lalu 2025 dan mendapat perkenan Sultan Pahang," kata Syed Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS