Sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) hari ini menyatakan bahawa mereka akan meneruskan program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan daripada PAS Selangor.
Kumpulan dikenali sebagai Jejaka itu menegaskan program selama dua hari itu adalah retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.
Kumpulan itu turut menegaskan bahawa aktiviti sebegitu tidak melanggar undang-undang negara.
“Program ini melibatkan aktiviti perkhemahan yang sah di tempat yang berdaftar dan tidak melanggar mana-mana undang-undang Malaysia.
“Perkhemahan, perhimpunan dan pendidikan komuniti adalah aktiviti sah di negara ini.
“Pada masa rakyat Malaysia sedang menghadapi isu nasional yang jauh lebih mendesak, termasuk tekanan kos sara hidup, rasuah dan kesihatan awam, amat mengecewakan apabila tenaga politik digunakan untuk menyerang sekumpulan kecil LGBTQ di Malaysia hanya kerana mereka meluangkan masa menikmati alam semula jadi,” menurut kenyataan kumpulan itu.
Menurut Jejaka, golongan LGBTQ wujud dengan aman di negara ini dan tidak mengancam ketenteraman awam.

Program berkenaan, tambah kumpulan itu, melibatkan penyertaan terhad dan disaring, dengan lokasi hanya diberitahu kepada peserta yang disahkan demi keselamatan dan untuk memastikan tiada gangguan awam.
“Kami akan meneruskan aktiviti seperti yang dirancang, dengan mematuhi undang-undang.
"Bagi mereka yang masih ragu-ragu, perkhemahan dan program komuniti adalah sah, dan tiada apa yang disembunyikan mengenai orang berkumpul untuk saling menyokong antara satu sama lain.
“Berkenaan lokasi adalah selamat. Dan jika anda berada berhampiran, anda dialu-alukan untuk hadir. Komuniti ini bukan sesuatu yang perlu ditakuti,” kata Jejaka.
‘Promosi gaya hidup songsang’
Semalam, Pemuda PAS Selangor menggerakkan anggotanya untuk membuat laporan polis terhadap acara glamping LGBTQ itu dan menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar, berkata program itu secara terang-terangan mempromosikan gaya hidup songsang dan menormalisasi ideologi gender yang bercanggah dengan nilai agama, budaya dan kerangka perundangan negara.
"Malaysia bukan negara tanpa nilai. Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala norma masyarakat Malaysia dibina atas asas akhlak, keluarga dan kesejahteraan sosial.
"Penganjuran program sebegini bukan isu kebebasan semata mata. Ia menyentuh soal ketenteraman awam, moral masyarakat, keselamatan sosial dan perlindungan generasi muda. Lebih membimbangkan apabila wujud unsur propaganda gaya hidup songsang secara terbuka, terancang dan berunsur pengaruh sosial.
"Saya mendesak pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat segera penganjuran program ini dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
