Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abdul Hadi nafi hantar nama calon pengerusi PN
Diterbitkan:  Jan 9, 2026 1:51 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan pihaknya telah mengemukakan sebarang nama calon untuk mengisi jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN), susulan pengunduran Muhyiddin Yassin.

“Belum (ada nama), belum lagi,” katanya ketika ditanya jika PAS sudah mengemukakan calon bagi jawatan tersebut, pada sidang media di Marang, Terengganu, hari ini.

Abdul Hadi menegaskan perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan pusat gabungan berkenaan.

Apabila disoal lanjut adakah sekurang-kurangnya satu nama telah dihantar, ahli parlimen Marang itu sekali lagi menafikan perkara berkenaan.

“Tak, tak (ada nama). Saya serah pada pusat untuk pilih sesiapa dia pengerusi PN,” katanya.

Abdul Hadi turut memaklumkan mesyuarat PAS Pusat yang sepatutnya berlangsung sebelum ini telah ditangguhkan dan dijadual diadakan pada minggu depan.

“Mesyuarat (PAS Pusat) tak buat lagi, akan dibuat pada minggu depan,” katanya.

Menurutnya, PN juga belum mengadakan sebarang mesyuarat berkaitan pengisian jawatan berkenaan berikutan kekosongan jawatan setiausaha gabungan itu selepas semua penyandang meletakkan jawatan.

“PN pun tak buat lagi (mesyuarat), setiausaha PN tak ada lagi, semua letak jawatan. Tapi dengan jumlah ahli-ahli yang ada, dia boleh buat dalam mesyuarat,” katanya.

Ditanya sama ada perlembagaan PN membenarkan individu yang bukan presiden parti dilantik sebagai pengerusi atau tidak, Abdul Hadi berkata perkara itu tidak diperincikan secara khusus.

“Tak ada dalam perlembagaan,” katanya ringkas.

Mengulas penangguhan mesyuarat PAS Pusat, Abdul Hadi berseloroh dengan menyatakan ada pihak yang terlalu bergantung kepadanya.

“Mungkinlah… dia orang ini nak bergantung pada saya sangat, tapi tak apalah saya serah kepada pusat untuk pilih siapa saja,” katanya.

Dia berkata kesediaannya untuk membantu sesiapa sahaja yang dilantik sebagai pengerusi PN.

“Terserah kepada pusat satu nama ke, dua nama. Saya sedia membantu siapa saja yang jadi pengerusi,” katanya.

‘Pengkhianatan’ Bersatu di Perlis

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi berkata PAS membuat keputusan untuk menolak sebarang tawaran jawatan dalam kerajaan negeri Perlis susulan pelawaan kepada Adun PAS.

“Kita dah buat keputusan kita tak akan terima jawatan itu. Kerana kita anggap ia satu pengkhianatan, menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Mengulas kebimbangan sesetengah pihak terhadap kemungkinan PAS mengetuai PN, dia berkata isu itu akan terlerai apabila proses pentadbiran berjalan seperti biasa.

“Kebimbangan itu selesai bila urusan itu berjalan. Akan selesai tetapi kita kena sedar bahawa kita perlukan sokongan bukan sahaja orang Islam tetapi termasuk bukan Islam,” katanya.

Abdul Hadi turut mengakui PAS tidak mampu bergerak bersendirian untuk memenangi pilihan raya.

“Bukan orang PAS sahaja, kalau PAS saja tak boleh menang,” katanya.

Jawatan pengerusi PN kini menjadi tanda tanya susulan pengumuman Muhyiddin Yassin berundur, ekoran konflik antara PAS dan Bersatu berkaitan penyingkiran Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.

Mohd Shukri, yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta bekas pesuruhjaya PAS Perlis dan pengerusi PN Perlis, gagal mempertahankan jawatan Yang Dipertua PAS Arau dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Dia turut gagal memperoleh undi mencukupi untuk menyertai Jawatankuasa PAS Pusat namun dilantik menganggotai badan itu oleh Abdul Hadi.

Jawatan Pesuruhjaya PAS Perlis kini disandang Ahmad Ali.

Mohd Shukri tersingkir selepas sejumlah Adun — termasuk tiga daripada PAS — menandatangani akuan bersumpah menyatakan pendirian tidak lagi menyokong beliau sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, kedudukan sebenar Muhyiddin masih belum jelas memandangkan Perlembagaan PN menetapkan peletakan jawatan pengerusi perlu disahkan oleh majlis tertinggi gabungan itu.

Setakat ini, belum diketahui sama ada mesyuarat berkenaan — yang turut melibatkan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu — telah diadakan atau sebaliknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS