Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAU: 104 bahagian bawa usul bahas pengampunan penuh Najib

Gesaan supaya bekas perdana menteri Najib Razak diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong dijangka menjadi agenda utama pada Perhimpunan Agung Umno yang akan datang.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata daripada 662 usul yang diterima setakat ini daripada perwakilan di seluruh negara, 104 daripadanya meminta perbahasan berhubung usaha memastikan "keadilan" untuk bekas presiden Umno itu.

"Antara usul yang paling panas ataupun paling banyak yang dihantar oleh bahagian-bahagian, iaitu sebanyak 104 bahagian adalah menuntut keadilan dan pengampunan penuh untuk Datuk Seri Najib Razak," katanya.

“(Para perwakilan) cukup celik dari segi undang-undang, yang ada kuasa untuk mengampunkan bukan kerajaan tetapi kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi kebanyakan saya tengok bahasa-bahasa yang digunakan dalam usul-usul yang berkaitan dengan memohonkan keampunan ini ialah memohon ihsan daripada ke bawah duli Yang Maha Mulia Seri Paduka," katanya.

Pada 26 Dis tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib bersalah atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan salah guna kuasa dalam perbicaraan berkaitan skandal kewangan 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap Najib bagi pertuduhan salah guna kuasa, selain hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, bekas perdana menteri itu akan dikenakan tambahan hukuman penjara selama 10 tahun.

Bagaimanapun, semua tempoh hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara selama 15 tahun, yang akan mula dijalani selepas dia selesai menjalani hukuman penjara berkaitan kes SRC International.

Sebelum itu, pada 22 Disember, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan Najib untuk menjalani tahanan rumah, dengan hakim Alice Yoke memutuskan bahawa titah diraja berkaitan perkara tersebut adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Asyraf hari ini turut mengesahkan bahawa setakat ini tiada sebarang usul dikemukakan bagi menuntut Umno keluar daripada kerajaan perpaduan.

Namun, dia menjelaskan bahawa isu tersebut masih boleh dibangkitkan oleh para pembahas, sambil menegaskan bahawa Umno tidak akan cuba menyekat suara-suara sedemikian sekiranya ia dibangkitkan.

Aysraf berkata Perhimpunan Agung Umno adalah medan untuk muhasabah dan introspeksi diri, justeru Umno tidak pernah menghalang supaya suara akar umbi didengar secara rasmi dan peribadi.

Ditanya sama ada terdapat usul kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang, Asyraf menjawab tiada.

Sebelum ini Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu akan kekal dalam kerajaan gabungan sehingga tamat penggal Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-16.

Zahid juga, buat masa ini, menolak sebarang kemungkinan kembali kepada kerjasama politik lama, merujuk kepada Muafakat Nasional (MN) yang pernah wujud antara Umno dan PAS.

Timbalan perdana menteri itu membuat pendirian tersebut ketika Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menggesa Umno keluar daripada kerajaan dan mengambil peranan sebagai pembangkang bagi membina semula kekuatan parti.

Dalam Konvensyen Khas Pemuda Umno pada 3 Jan lalu, Akmal turut menegaskan bahawa penyatuan orang Melayu mesti bermula dengan Umno dan PAS sebagai dua parti Melayu terbesar.

Dalam perkembangan berasingan, Asyraf berkata wakil-wakil daripada parti lain dalam kerajaan perpaduan tidak dijemput menghadiri PAU yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia (World Trade Centre).

"Kita tak jemput sebab kita mahu memfokuskan kepada dalaman parti kita supaya ahli-ahli dan perwakilan dapat bercakap secara terbuka,” ujarnya.

Namun, Aysraf memaklumkan bahawa tokoh-tokoh daripada parti komponen BN termasuk MIC dan MCA, serta rakan-rakan BN, dijangka menghadiri perhimpunan tersebut dan jemputan telah pun dihantar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS