Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi PN: Mesti Hadi, atau paling tidak Tuan Ibrahim - Zuhdi
Diterbitkan:  Jan 9, 2026 6:30 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Ketika teka-teki siapa yang akan dilantik mengetuai PN belum terjawab, seorang tokoh berpengaruh dalam PAS menegaskan bahawa mereka tiada pilihan kecuali dua pimpinan utamanya yang diangkat ke jawatan tersebut.

Bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, berkata parti itu tidak boleh tidak untuk memilih ketetapan itu sekiranya mereka benar-benar mahu melaksanakan resolusi muktamar baru-baru ini.

Katanya, bakal Pengerusi PN yang perlu dicalonkan bagi menggantikan Muhyiddin Yassin ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri, atau paling tidak timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Menamakan tokoh lain sebagai Pengerusi PN mewakili PAS adalah satu percanggahan dengan prinsip politik PAS,” tegasnya dalam tulisan di media sosial hari ini.

Dia juga mengingatkan bahawa penanda aras seseorang ketua kerajaan bagi PAS ialah tokoh seperti Alahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang.

Muktamar PAS yang diadakan di Kota Sarang Semut, Alor Setar Kedah pada Sept tahun lalu, katanya, jelasnya merumuskan satu resolusi bahawa PAS perlu memimpin PN.

Bekas setiausaha politik Tuan Ibrahim semasa dia menjadi menteri dulu mendakwa, ramai terlupa bahawa PAS melaksanakan dasar kepimpinan ulama dan ia seharusnya diteruskan semasa parti itu mengetuai PN serta kerajaan pada suatu hari nanti.

“Ia selari dengan prinsip kepimpinan ulama. Resolusi muktamar bahawa PAS perlu memimpin PN harus dibaca sekali dengan resolusi muktamar berkaitan kepimpinan ulama yang telah dirumuskan sejak awal 1980-an lagi.

“Selepas itu, hampir setiap kali muktamar PAS akan ada penegasan-penegasan untuk memperkasakan kepimpinan ulama.

“Gagasan kepimpinan ulama yang didukung oleh PAS bukan sahaja merupakan satu dasar hukum tentang kepimpinan di dalam fiqh Islami, tetapi juga sudah menjadi prinsip politik yang diperjuangkan oleh PAS,” katanya.

Golongan tak sabar ke Putrajaya

Sesiapa yang enggan menerima prinsip politik PAS itu, dakwa Mohd Zuhdi, akhirnya akan meninggalkan parti terbabit – sama seperti yang pernah dilakukan oleh kumpulan yang menubuhkan Amanah.

“Secara konvensyen, sesiapa yang menjadi Pengerusi PN, maka beliaulah bakal perdana menteri sekiranya PN menang kelak.

“Jika Pengerusi PN itu daripada PAS, maka Malaysia kelak akan mendapat perdana menteri dari kalangan golongan ulama. Para pendukung PAS yang sudah lama berkecimpung dengan aktivisme PAS, hasrat ini sudah tertanam lama,” jelasnya lagi.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN selepas kemelut pentadbiran kerajaan Perlis yang sempat menyaksikan hubungan PAS dengan Bersatu semakin tegang.

Ia dibayangi kenyataan keras beberapa pemimpin PAS termasuk ketua pemudanya yang menggunakan perkataan “berambus” kepada pihak yang dianggap mengkhianati pentadbiran Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar.

Muhyiddin Yassin

Walaupun Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, ia belum disahkan kerana mengikut perlembagaan parti itu, keputusan tersebut mesti disahkan oleh majlis tertinggi mereka.

Setakat ini MT PN belum bersidang untuk membincangkan peletakan jawatan Muhyiddin.

Untuk rekod, di sebalik pengunduran itu, Muhyiddin masih kekal sebagai Presiden Bersatu, sekali gus meletakkan dia sebagai salah seorang anggota Majlis Tertinggi PN.

Mohd Zuhdi turut memberitahu pandangannya sempat menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah ahli PAS.

“Mereka adalah golongan tergopoh-gapah, yang tidak sabar-sabar menyusuri lorong-lorong kompleks pentadbiran kerajaan di Putrajaya,” ujarnya merujuk kepada reaksi kepada temu bual dengan sebuah media tempatan.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, memberikan reaksi berbeza pandangan dengan Mohd Zuhdi dalam hantaran hari ini.

Nurul Islam Mohamed Yusoff

Katanya, usul yang dibentangkan untuk PAS mengetuai PN adalah jelas lagi terang maksudnya, malah tiada keperluan untuk dibaca bersama dengan hal-hal lain.

Malah Nurul Islam turut mendakwa Mohd Zuhdi mengada-adakan sesuatu yang tidak ada.

“Sedangkan kepimpinan PAS pun boleh datang dari apa-apa latar belakang dan tiada prasyarat, takkan Pengerusi PN tiba-tiba ada prasyarat (iaitu) mesti ulama.

“Jangan mengadakan apa yang tiada Dr. Ikutlah keputusan pimpinan, tahan diri daripada mengeluarkan pandangan peribadi,” tulisnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS