Dakwaan kononnya wujud keretakan hubungan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, disifatkan sebagai cubaan yang “naif” dan tidak berasas.
Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Omar Mokhtar A Manap tampil menjelaskan spekulasi yang tular di media sosial susulan penyebaran sebuah rakaman video yang mendakwa Anwar tidak bersalaman dengan Saifuddin dalam satu majlis baru-baru ini.
Menurut Omar, dakwaan itu tidak tepat dan bersandarkan tafsiran visual yang mengelirukan.
“Sebenarnya bersalaman berlaku. Hanya terlindung dengan badan PMX (Anwar). Dan bersalaman itu terjadi dengan pantas.
“Tapi tak ramai yang nak tahu kebenaran. Tak upaya saya nak ubah pandangan orang ramai,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, sebuah video yang dikongsi di media sosial — termasuk oleh bekas pemimpin PKR Iswardy Morni di akaun Facebook peribadinya dengan tajuk “Salam ke tak” — mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hubungan kedua-dua tokoh berkenaan.
Rakaman yang dimuat naik tiga hari lalu itu telah meraih sekitar 120,000 tontonan, dengan segelintir pihak cuba menggambarkan seolah-olah wujud ketegangan antara Anwar dan Saifuddin, yang dikenali sebagai antara sekutu paling rapat dalam kabinet pimpinan pengerusi PH itu.
Mengulas lanjut, Omar (gambar bawah) menegaskan kesetiaan Saifuddin terhadap Anwar telah teruji sejak lebih tiga dekad lalu, sekali gus menolak dakwaan hubungan mereka kini goyah.

Menurutnya, tanggapan sedemikian tidak munasabah memandangkan sejarah panjang perjuangan bersama sejak penubuhan PKR pada April 1999.
“Orang yang mahu kita percaya DSAI (Anwar) dan Saifuddin 'crack' sama lah seperti orang itu mahu kita percaya hujan naik ke langit atau ikan keli tumbuh sisik.
“Begitulah gambaran hubungan mereka berdua,” katanya.
Omar turut menyenaraikan beberapa faktor yang menurutnya, mengukuhkan kedudukan Saifuddin sebagai individu kepercayaan perdana Mmenteri.

“Saifuddin merupakan salah seorang pengasas parti juga penggerak utama sejak 1999 dan pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung selama 14 tahun.
“Dia juga menjadi utusan tunggal Anwar untuk berunding dengan parti-parti lain bagi membentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.
“Saifuddin juga terus diberi kepercayaan disambung senator dan meneruskan tugas sebagai menteri dalam negeri,” katanya lagi.
