Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai sedang menyiasat seorang lagi pegawai kanan tentera berhubung dakwaan ketidakaturan dalam urusan perolehan.
Memetik sumber, BH Online melaporkan individu berusia lingkungan 50an itu dijangka akan memberikan keterangannya dalam masa terdekat berhubung dakwaan rasuah melibatkan tender perolehan tentera.
"Permohonan reman tujuh hari membabitkan pegawai kanan itu (bekas panglima tentera) yang juga suspek utama kes adalah juga untuk menyiasat aspek penerimaan rasuah yang dilakukan secara terancang.
"SPRM juga sedang mengesan pembabitan beberapa pegawai lain, sekali gus menunjukkan adanya rangkaian rasuah lebih luas dalam perolehan agensi berkenaan," kata sumber itu.

Menurut laporan itu lagi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan turut melibatkan beberapa pegawai kanan lain dalam angkatan tentera.
"Saya minta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan," katanya.
Walaupun enggan mengulas lanjut, dia memaklumkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan kesalahan menerima atau cuba mendapatkan rasuah untuk diri sendiri atau orang lain.
Hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai rasuah, mengikut mana yang lebih tinggi.

Semalam, Bernama melaporkan SPRM telah menyita jongkong emas, sebuah kereta berprestasi tinggi serta wang tunai dalam pelbagai mata wang asing yang dianggarkan bernilai RM6.9 juta dalam siasatan berhubung dakwaan rasuah tender perolehan tentera.
Bulan lalu, Ketua Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shaharin mendakwa semakan forensik terhadap dokumen yang diterimanya secara rahsia menunjukkan transaksi bulanan berjumlah puluhan ribu ringgit dikreditkan ke dalam akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.
Aduan tersebut menyebabkan pelantikan Hafizuddeain Jantan sebagai ketua angkatan tentera seterusnya ditangguhkan, walaupun pelantikan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Angkatan Tentera dan menerima perkenan Agong.
Pada 27 Disember, Hafizuddeain diarahkan bercuti bagi memberi laluan kepada siasatan, dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Azhan Md Othman kemudian dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Jan lepas.
Susulan itu, pada 29 Disember, SPRM membekukan enam akaun bank milik Hafizuddeain serta ahli keluarganya.
Hafizuddeain dan dua isterinya ditahan awal minggu ini selepas hadir sendiri ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Pada Khamis (8 Jan), dia diberikan perintah reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Angkatan tentera turut berdepan penelitian dalam satu lagi skandal selepas dakwaan tular dalam talian mengenai penglibatan pegawai tentera dalam parti liar yang dikenali sebagai “parti yeye”, yang didakwa diadakan dalam kawasan kem tentera.
Beberapa pengguna media sosial turut mula menyiarkan gambar-gambar acara tersebut dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Sebahagian netizen turut mendakwa pegawai berpangkat rendah dipaksa menyediakan minuman beralkohol serta wanita dari luar kem untuk pegawai atasan mereka.
Pada Khamis (8 Jan), Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Keselamatan memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil Kementerian Pertahanan dan angkatan tentera bagi memberi penjelasan berhubung skandal tersebut.
