Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal bakal umum pendirian 'demi penyatuan agama, bangsa'
Diterbitkan:  Jan 10, 2026 12:20 PM
Dikemaskini: 6:15 AM
4

Selepas dinafikan bakal berundur dari jawatannya, Dr Akmal Saleh terus bermain teka-teki mengenai kedudukannya dalam politik apabila memberi bayangan keputusan muktamad hanya akan dimaklumkan minggu depan.

Ketua Pemuda Umno Malaysia itu berkata, “demi penyatuan agama bangsa kita” dia akan meneruskan suara konvensyen sebelum ini ke Perhimpunan Agung Umno nanti.

Katanya ia adalah suara akar umbi yang disalurkan melalui cawangan dan bahagian parti tersebut.

“Kita dah bersuara di konvensyen dengan mendengar suara orang awam. Insya-Allah kita teruskan bersuara di Perhimpunan Agung Umno (PAU) pula minggu depan membawa suara akar umbi parti melalui cawangan dan bahagian demi penyatuan agama bangsa kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal yang juga exco Melaka menjelaskan dia tidak takut bersuara “mengenai perkara yang betul.”

Malahan, Akmal memberitahu dia menjadi pemimpin bukanlah kerana memburu jawatan atau gelaran.

“Insya-Allah kedudukan saya di dalam parti dan kerajaan juga akan saya umumkan di dalam PAU minggu hadapan.

“Siapalah kita tanpa rakyat yang mengangkat kita pada hari ini,” katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan Akmal sudah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia dan Adun Merlimau.

Menurut sumber yang rapat dengan Umno, Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin pemuda sayap parti itu menerusi mesej WhatsApp. Dia ketika itu masih berada di Shanghai, China.

Bagaimanapun Setiausaha Pemuda Umno Malaysia, Hafiz Ariffin, kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa Akmal tidak meletakkan jawatannya seperti yang didakwa.

Sabtu lalu, Akmal yang mempengerusikan Konvensyen Khas Pemuda Umno menggerakkan ahli untuk menyokong gesaannya supaya Umno bergabung dengan PAS di blok pembangkang.

Difahamkan perkara itu turut dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik Umno pada Isnin. Namun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menolak gesaan tersebut, sebaliknya menegaskan parti itu akan kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga PRU akan datang.

Susulan penolakan Ahmad Zahid kepada gesaan itu, Akmal memuat naik mesej bersifat sindiran mengenai “berundur”. Ia kemudian mengundang cabaran daripada pemimpin PH supaya dia benar-benar meletakkan jawatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
4
ADS