Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengenal pasti paling kurang 20 pegawainya terbabit secara langsung dalam dakwaan penganjuran parti liar di dalam pangkalan tentera.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Norazlan Aris memaklumkan penemuan itu dibuat hasil siasatan awal yang dijalankan susulan dakwaan tular berhubung aktiviti tidak bermoral membabitkan anggota perkhidmatan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati seramai 20 orang Pegawai TUDM yang telah terlibat secara langsung di dalam aktiviti tidak bermoral ini.
"TUDM akan memastikan pelaku dibicara dan diadili menurut lunas dan peruntukan Perundangan ATM.
"Perlu ditegaskan, budaya tidak sihat tersebut bukanlah suatu amalan bagi TUDM,” katanya pada satu kenyataan.
Norazlan menegaskan TUDM sentiasa memandang serius sebarang bentuk pelanggaran terhadap peraturan dan arahan perkhidmatan, serta tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pegawai yang melanggarnya.
Tiga hari lalu, Norazlan mengumumkan TUDM telah melancarkan siasatan terhadap dakwaan penglibatan pegawainya dalam aktiviti tidak bermoral.
Ia susulan skandal terbaru yang melanda Angkatan Tentera Malaysia (ATM), apabila timbul dakwaan pegawai tentera terbabit penganjuran parti yang melibatkan minuman beralkohol dan kehadiran peneman wanita di dalam kawasan pemasangan tentera.
Aktiviti yang digelar sebagai “parti yeye” itu mula diperkatakan di media sosial pada hujung minggu lalu, apabila beberapa pengguna memuat naik gambar kejadian berkenaan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Antara visual yang tular, satu daripadanya didakwa dirakam di dalam dewan mes pegawai di Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor.
Beberapa pengguna media sosial turut mendakwa pegawai berpangkat rendah dipaksa menyediakan minuman beralkohol serta membawa wanita dari luar kem tentera untuk memenuhi kehendak pegawai atasan.
Susulan dakwaan itu, Kementerian Pertahanan mengarahkan siasatan dijalankan bagi meneliti kesahihan tuduhan berkenaan.
