Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful sangsi, minta ROS pantau mesyuarat MT PN
Diterbitkan:  Jan 10, 2026 2:12 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Wan Saiful Wan Jan menyatakan keraguannya sama ada Muhyiddin Yassin dan “penjilat-penjilat” Presiden Bersatu itu akan mematuhi prosedur yang betul dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang dipecat daripada Bersatu tahun lalu itu berkata, dia menghantar surat rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya memantau perkembangan isu berkenaan bagi memastikan Bersatu mematuhi proses yang sewajarnya.

Wan Saiful turut mempersoalkan sama ada Muhyiddin wajar menghadiri mesyuarat tersebut atau tidak memandangkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN dinyatakan berkuat kuasa mulai 1 Jan lalu.

“Kalau dia sepatutnya tidak hadir tetapi masih hadir, maka akan timbul persoalan – adakah mesyuarat itu sah.

“Mengesahkan peletakan jawatan pengerusi seharusnya menjadi agenda pertama mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang.

“Kalau Muhyiddin masih nak hadir (dan) apabila peletakan jawatannya disahkan (dalam mesyuarat itu), sebelum masuk agenda kedua Muhyiddin perlu keluar mesyuarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia yang pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PN itu turut membangkitkan kemungkinan berlakunya konflik kepentingan sekiranya Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi tersebut.

Hal itu kerana, kata Wan Saiful, agenda utama mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang ialah menentukan pengerusi yang baru mereka.

Pada masa sama Wan Saiful mendakwa kem Muhyiddin kelihatan bersungguh-sungguh mahu bekas perdana menteri itu kekal berkuasa dan dibuktikan dengan beberapa pertemuan yang diatur sejak beberapa hari lalu.

Muhyiddin Yassin

Dia juga membangkitkan kemungkinan Muhyiddin mengubah pendirian mengenai peletakan jawatannya dengan menyatakan bahawa perkara itu pernah berlaku sebelum ini.

Wan Saiful berkata demikian dipercayai merujuk kepada insiden pada Nov 2023 apabila Muhyiddin memberitahu dia tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti akan datang.

Tidak lama selepas itu, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan menarik balik keputusan tersebut atas alasan dia mengambil kira permintaan isterinya, Noorainee Abdul Rahman, supaya memegang jawatan presiden sekurang-kurangnya untuk satu penggal lagi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, dan salah seorang naib presiden parti, Radzi Jidin, juga tidak sepatutnya menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Hal itu kerana, menurut Wan Saiful, dia mendapat tahu yang Radzi juga sudah meletakkan jawatan. Bagaimanapun dakwaan bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu tidak dapat disahkan.

“Yang lebih baik ialah Timbalan Setiausaha Agung PN (Takiyuddin Hassan) mengeluarkan notis memanggil mesyuarat tanpa menjemput Azmin dan Radzi,” katanya.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 30 Dis lalu susulan krisis pentadbiran kerajaan Perlis yang menyaksikan hubungan antara PAS dan Bersatu menjadi semakin tegang.

Kontroversi itu tercetus susulan satu ‘rampasan kuasa’ apabila lapan Adun – lima dari Bersatu dan tiga PAS — menarik sokongan mereka terhadap Menteri Besar, Shukri Ramli.

Ketegangan tersebut menyebabkan PAS mengancam untuk bergerak secara bersendirian.

Namun, keadaan kembali reda apabila Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai ketua PN, sekali gus membuka laluan kepada PAS untuk mengambil alih kepimpinan gabungan itu.

Pengumuman Muhyiddin itu turut mencetuskan siri peletakan jawatan beberapa pemimpin kanan Bersatu negeri, termasuk Azmin yang mengepalai Selangor, serta Ahmad Faizal Azumu (Perak).

Bagaimanapun, sebagai Presiden Bersatu, Muhyiddin berhak berada dalam Majlis Tertinggi PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS