Polis menerima lima laporan berkaitan iklan program Glamping With Pride yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat, Selangor pada 17 dan 18 Jan ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata laporan berkenaan mendakwa program itu berpotensi menimbulkan masalah sosial dan melanggar tatasusila.
Katanya satu daripada laporan tersebut diterima kira-kira jam 6 petang Khamis, dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron juga menasihatkan masyarakat supaya sentiasa menjaga tatasusila dan tidak melakukan perbuatan yang sengaja mengaibkan atau boleh mengganggu keamanan awam.
“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil sekiranya aktiviti sedemikian diteruskan.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat, ASP Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata pihak berkuasa memantau rapi penganjuran program Glamping With Pride dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha atau pendekatan yang bertujuan menormalisasikan perlakuan seks songsang.
Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee berkata perbuatan sedemikian juga merupakan kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 25, Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 serta Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii.
- Bernama
