Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu ladang babi: Exco menghadap Sultan Selangor pada Isnin
Diterbitkan:  Jan 11, 2026 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim diperkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Isnin ini berkenaan isu penternakan babi di Kuala Langat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Izham akan menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kepada baginda.

"Ini termasuk langkah proaktif oleh agensi-agensi penguatkuasaan agar keselamatan dan kebersihan persekitaran dapat diperkukuhkan tanpa sebarang kompromi,” kata Amirudin dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Amirudin, MMKN telah mengambil keputusan supaya syarat operasi industri penternakan babi di Selangor diperketatkan berasaskan keutamaan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab supaya tidak memberikan kesan negatif terhadap sistem saliran.

"Keputusan ini diambil setelah mengambilkira kesemua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan setelah belasan tahun.

"Di samping menjaga sensitiviti masyarakat, inisiatif ini amat penting untuk memelihara keadaan kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran serta mengelakkan pencemaran bau supaya industri ini dapat beroperasi secara lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan,” katanya.

Amirudin berkata demikian susulan titah Sultan Sharafuddin yang menzahir rasa tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Selangor membenarkan operasi penternakan babi di di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office, baginda bertitah bahawa penduduk menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan.

Malah Sultan Sharafuddin bertitah bahawa kediaman baginda, Istana Pantai Bahagia juga terletak di kawasan Kuala Langat, dan baginda sendiri merasai serta menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan tersebut.

Justeru baginda turut mengusulkan agar wakil rakyat tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi tersebut.

Pada Khamis lalu, Bernama melaporkan bahawa kerajaan Selangor telah memutuskan untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor bermula 2029.

Laporan itu memetik Izham sebagai berkata, sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, penternak sedia ada di Tanjung Sepat dibenarkan meneruskan operasi sebelum dipindahkan ke lokasi baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS