Meskipun tiada wakil rakyat yang terpilih sejak sedekad lalu dan masih dalam proses pemulihan daripada kemelut dalaman, Parti Progresif Penduduk (PPP) menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam PRU akan datang.
Dalam wawancara bersama New Straits Times, Presiden PPP, Loga Bala Mohan berkata parti itu bersedia sama ada untuk "menawarkan kekuatan" kepada BN, atau akhirnya membawa haluan sendiri.
"Saya menawarkan kekuatan kepada BN. Saya menawarkan suara kepada rakyat Malaysia," kata Loga Bala yang juga bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran BN ketika pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dari 2013 hingga 2018.
PPP ditubuhkan pada 1953 dan merupakan parti komponen BN sejak 1974.
Perebutan teraju kepimpinan sebelum ini membawa kepada pembatalan pendaftaran PPP dan menyebabkan parti itu terkeluar daripada BN, namun Loga Bala berkata PPP di bawah kepimpinannya tidak akan mendesak Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi untuk mengembalikan keahlian mereka secara rasmi.
"Kami tidak akan mengemis. Kami sudah menyatakan pendirian kami dengan jelas. Jika ada keputusan, kami akan menerimanya. Jika tiada, kami akan tetap melangkah ke hadapan," katanya.
Dia menyifatkan PPP sekarang merupakan sebuah parti berbilang kaum dengan asas etnik yang jelas, tanpa apa yang disifatkannya sebagai "bebanan politik".
Menurut laporan NST, bekas senator itu mengesahkan PPP telah merangka pelan luar jangka untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang secara sendiri — menyasarkan lapan kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN, terutamanya di Perak, Selangor, Pulau Pinang, dan Wilayah Persekutuan.
Loga Bala kali terakhir bertanding di kerusi Parlimen Segambut pada 2018, namun tewas kepada penyandang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
"Kami tidak mahu menyakiti mana-mana rakan kongsi. Dalam sesebuah gabungan, menyakiti orang lain adalah seperti menyakiti diri sendiri," katanya, sambil menambah bahawa buat masa ini PPP akan terus menjadi penyokong kerajaan.
"Dari 2018 hingga 2022, kerugian yang dialami bukan sekadar politik. Terdapat kerugian ekonomi dan pembangunan yang dirasai oleh rakyat biasa. Kestabilan itu penting," katanya.
