Peguam Mahajoth Singh menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini tentang memerangi rasuah adalah "menggelikan dan hipokrasi yang terang-terangan".
Dia berkata ini memandangkan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mengambil tindakan selanjutnya (NFA) dalam kes Yayasan Akalbudi melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
"Seseorang tidak boleh mendakwa memerangi rasuah tapi pada masa sama membuat pengecualian yang tidak dapat dijelaskan di pihak tertinggi kerajaan.
"Itu adalah hipokrasi dan penipuan terhadap rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahajoth ialah pengasas Malaysians Against Governmental and Institutional Corruption (Magic), sebuah inisiatif advokasi bebas yang ditubuhkannya lewat tahun lalu kerana kekecewaan dengan apa yang dia sebut sebagai "subahat kerajaan dalam rasuah".
Peguam lain telah menyatakan sentimen yang sama mengenai kes Zahid, seperti bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin, yang juga mendapati isu itu "menggelikan" dan "melucukan".
Pada Khamis (8 Jan), AGC berkata tiada tindakan selanjutnya akan diambil berhubung pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang diberikan kepada Zahid atas 47 pertuduhan yang melibatkan pecah amanah jenayah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana daripada Yayasan. Akalbudi.
Ia berkata semakan semua bahan dan bukti baru mendapati bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk meneruskan pendakwaan kes tersebut.
Pada Selasa, Zahid menegaskan semula bahawa Umno akan kekal dalam kerajaan sehingga akhir penggal parlimen semasa, mendorong Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor, untuk mencadangkan bahawa "pemimpin yang mempunyai beban" merupakan punca keputusan itu diambil.
Mengulas lanjut, Mahajoth mempersoalkan kredibiliti dan kebebasan SPRM, dengan mengatakan bahawa agensi itu berdepan persoalan mengenai tindakan pilih kasih.
Tambah Mahajoth, dakwaan Anwar bahawa kerajaannya menyiasat bekas perdana menteri dan bekas menteri adalah tidak meyakinkan, kerana mereka merupakan seterus politiknya.
Dia berkata perkara sedemikian tidak boleh dianggap sebagai legasi.
"Ia adalah keputusan yang dibuat di bawah pentadbiran semasa.
"Oleh itu, Magic menyeru perdana menteri untuk menjelaskan jurang yang ketara antara retorik antirasuahnya dan tindakan yang melindungi mereka yang berkuasa," tambahnya.
Dia seterusnya membandingkan kes Zahid dengan kes anak guamnya, Albert Tei -- ahli perniagaan yang mendedahkan skandal perlombongan Sabah.
"Bagaimana rakyat Malaysia boleh mempercayai penguatkuasaan yang tegas sedangkan pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah lesen perlombongan besar-besaran di Sabah kembali berkuasa?
"Mereka tidak pernah didakwa walaupun terdapat bukti video rasuah yang ditonton oleh seluruh negara," kata Mahajoth.
Sejak November 2024, Tei telah mengeluarkan pelbagai video, tangkapan layar perbualan WhatsApp dan dokumen yang didakwa melibatkan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dia mendakwa bahawa ahli politik terlibat menerima wang daripadanya sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral, yang kemudiannya dibatalkan, mendorongnya untuk mendedahkan skandal tersebut.
Tei sejak itu telah didakwa di mahkamah dua kali atas kesalahan memberi rasuah berkaitan dengan skandal tersebut.
Dakwaan kali pertama pada Jun tahun lalu, bersama dua ahli dewan undangan negeri GRS. Dakwaan kedua adalah dengan bekas pembantu politik kanan Anwar, Shamsul Iskandar Akin, pada bulan Disember tahun lalu.
