Abdul Hadi Awang berkata, orang Melayu Islam mesti berusaha untuk bersatu dan mengetepikan perbezaan masing-masing kerana mereka bertanggungjawab “menyelamatkan dunia”.
Katanya sebelum ini Islam pernah menempa sejarah keemasan di pelbagai wilayah di tiga benua iaitu Asia, Afrika dan Eropah.
Malah kata Presiden PAS itu lagi, Islam berjaya mencipta tamadun yang dimanfaatkan oleh manusia di seluruh dunia sehingga kini.
“Maka, bangsa Melayu Islam perlu berusaha mengembalikan semula kedaulatan Islam bagi menyelamatkan dunia kerana wilayah alam Melayu mempunyai jumlah penganut Islam terbesar, majoriti penduduknya beragama Islam, kaya dengan sumber manusia yang terdiri daripada kalangan masyarakat majmuk dan sumber alam kurniaan Allah, serta diberikan kelebihan kedudukan dari segi geografi yang strategik dalam jajaran hubungan antarabangsa,” katanya dalam hantaran terbaru di media sosialnya pagi ini.
Abdul Hadi yang juga bekas duta khas bertaraf menteri itu juga menegaskan PAS tidak pernah mengkhianati perjanjian yang disertainya dengan mana-mana pihak, dan pada masa sama tidak menjadi lemah akibat langkah tersebut.
Apa yang berlaku, katanya, hanyalah gugurnya segelintir ahli PAS, namun parti itu didakwanya terus menjadi lebih kuat dan lebih ramai menyertainya.
Menurut Abdul Hadi lagi, hubungan persaudaraan Islam terutama yang melibatkan bangsa yang sama mampu menjadi lebih erat lagi penting disebabkan dua faktor iaitu persamaan kepercayaan (iman) serta hubungan kekeluargaan (silaturahim) yang haram diputuskan.
“Bagi merealisasikan hubungan seagama, bangsa dan kemanusiaan, usaha perpaduan ummah wajib dilaksanakan sehingga menjadi kenyataan.
“Maka, semua pihak wajib bertasamuh (berlapang dada) dengan mengetepikan kepentingan duniawi seperti kepentingan diri, pangkat dan harta,” katanya.
Galak beri kemaafan buat musuh
Kenyataan Abdul Hadi itu muncul ketika PAS sedang cuba mengajak Umno kembali menghidupkan Muafakat Nasional. Gesaan itu hadir lebih ketara ekoran krisis kerajaan Perlis yang menyaksikan PAS kehilangan jawatan menteri besar kepada Bersatu.
Hubungan baik PAS dengan Bersatu juga menjadi tanda tanya ekoran sikap tegas para pemimpinnya yang berasa dikhianati apabila pemimpin kanan mereka, Mohd Shukri Ramli, dijatuhkan dan diganti dengan Abu Bakar Hamzah.
Tiga Adun PAS yang terlibat menandatangani perakuan berkanun (SD) sebagai tanda tidak percaya kepada Mohd Shukri diberhentikan keanggotaan oleh parti tersebut.
Krisis itu juga menyaksikan para pemimpin PAS mendesak Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan. Bekas perdana menteri itu kemudian mengumumkan pengundurannya dari jawatan tersebut melalui sepucuk surat.
Ia disusuli dengan peletakan jawatan beberapa pemimpin kanan PN termasuk setiausaha agungnya, Azmin Ali, yang juga Setiausaha Agung Bersatu.
Bagaimanapun kemelut itu masih belum dituntaskan kerana peletakan jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi PN mesti disahkan oleh majlis tertinggi (MT) parti gabungan tersebut. Setakat ini MT PN belum mengadakan mesyuarat.

Dalam catatan Minda Presiden hari ini, Abdul Hadi turut menyentuh tentang isu memberi maaf yang diajarkan Islam, termasuk melibatkan musuh.
Kata Abdul Hadi, Allah menggalakkan orang Islam memaafkan musuh dan keutamaan itu mengatasi langkah membalas balik perbuatan mereka kepada Muslim.
Ahli Parlimen Marang itu juga mengingatkan bahawa Allah mengharamkan sebarang tindakan membalas secara melampau akibat perasaan dendam.
“Maka, maaf dan keampunan kepada saudara seagama dan sebangsa lebih diutamakan kerana mendapat kelebihan kesempurnaan iman dan fadilat hubungan silaturahim,” katanya.
Abdul Hadi juga memberitahu walaupun PAS mengajak orang Melayu Islam bersatu, orang bukan Islam tidak perlu berasa bimbang atau bersangka buruk dengan langkah yang diambil.
Hal itu kerana, katanya, Islam mewajibkan umatnya menunaikan janji dengan semua pihak seperti yang ditegaskan dalam al-Quran.
“Hubungan satu agama dan hubungan kemanusiaan yang damai perlu dihormati secara baik, serta dilaksanakan perkara yang positif, bukan menggalakkan perkara yang negatif.
“Di samping itu, raikan titik persamaan yang mulia dan bertolak ansur dalam perbezaan yang tidak melampau. Inilah konsep Islam,” katanya.
