Seorang tokoh yang dekat dengan Muhyiddin Yassin memberitahu, sekarang adalah waktu yang sesuai untuk memberi peluang kepada PAS mengetuai pakatan pembangkang dalam PN.
Menurut Marzuki Mohamad langkah itu perlu diambil demi kestabilan PN dia kerana mengambil kira PAS adalah parti yang paling kuat dalam gabungan tersebut sekarang.
“Parti mana yang patut memimpin PN selepas ini? Bagi saya, PAS,” katanya dalam hantaran di media sosial malam tadi.
Berkenaan kebimbangan masyarakat – khususnya bukan Islam – terhadap pendekatan yang akan dibawa PAS, Marzuki berkata, aspek tersebut boleh diketepikan buat sementara.
Apa yang penting, katanya, kekuatan yang ada pada PAS berbanding parti komponen lain adalah penting untuk mewujudkan kestabilan kepada PN.
Menegaskan bahawa hubungannya dengan PAS ada pasang surut, bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin memberitahu, akan ada sejarah baru terlakar jika PAS akhirnya menjadi ketua PN.
“Apabila PAS memimpin, inilah kali pertama dalam sejarah politik negara kita (ada) parti Islam mengetuai sebuah gabungan nasional. Ini satu eksperimen baru.
“Sudah tentulah ada pihak yang bimbang, ada pihak yang gusar, ada pihak yang mengkritik.
“Ada masanya kritikan disampaikan dengan lembut. Ada masanya pedas. Itu demokrasi. Terima sajalah kritikan. Jangan label pengkritik dengan bermacam label,” katanya lagi.
Sama ada “eksperimen” tersebut berhasil atau tidak, Marzuki berkata, dia sendiri tiada jawapan.
“Malah, saya belum yakin. Apa pun saya ucapkan selamat berjaya,” katanya.
Sediakan surat, kenyataan media
Dalam hantaran sama Marzuki turut mendedahkan bagaimana ada ahli parlimen (MP) dari PAS mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan serta-merta ekoran pertukaran menteri besar di Perlis baru-baru ini.
Kata Marzuki dia menerima mesej daripada Muhyiddin pada tengah malam 29 Dis lalu untuk mengarahkan dia menyediakan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Untuk rekod, sehari sebelum itu Pengerusi Bersatu Perlis merangkap Timbalan Pengerusi PN Perlis, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baru di negeri tersebut.
Abu Bakar yang juga Adun Kuala Perlis menggantikan Adun Sanglang merangkap anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Shukri Ramli, yang melepaskan jawatan ekoran tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti DUN untuk kekal sebagai menteri besar.

Tiga daripada Adun yang mengemukakan perakuan berkanun (SD) menolak Mohd Shukri ialah dari PAS. Parti itu kemudian memberhentikan keanggotaan mereka kerana dianggap menjatuhkan kerajaan.
Kata Marzuki selepas mendapat pesanan daripada Muhyiddin itu, dia membaca mesej yang terkandung dalam kumpulan WhatsApp ahli parlimen yang tular.
Di situ, katanya, dia melihat ada ahli-ahli parlimen PAS mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.
“Tan Sri Muhyiddin menjawab ringkas bahawa beliau bersedia untuk meletakkan jawatan pada bila-bila masa sekiranya dikehendaki oleh Majlis Tertinggi (MT) PN. Beliau akan membawa perkara itu ke MT PN.
“Inilah kaedahnya di bawah Perlembagaan PN. Pengerusi PN dilantik oleh MT PN dan peletakan jawatannya hendaklah diluluskan oleh MT PN.
“Tetapi ada ahli parlimen PAS yang tidak berpuas hati dengan jawapan Tan Sri Muhyiddin. Ahli Parlimen itu mendesak Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan serta-merta tanpa membawanya ke MT PN.
“Beberapa ahli parlimen lain PAS bersetuju dengan desakan ini,” katanya.
Ekoran itu, tambah Marzuki, Muhyiddin memberitahu dia akan berundur berkuat kuasa pada 1 Jan 2026.
Menurut Marzuki, dia kemudian menyediakan surat peletakan jawatan Muhyiddin untuk dihantar kepada presiden parti-parti komponen PN keesokan harinya bersama kenyataan media ringkas yang berkaitan.
Bagaimanapun, katanya, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaar telah mengumumkan peletakan jawatan lebih awal.
