Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam dakwa JPN 'liat' nak bagi borang IC
Diterbitkan:  Jan 12, 2026 11:56 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Kumpulan peguam yang mewakili seorang remaja berusia 17 tahun mendesak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) segera mematuhi perintah mahkamah untuk memproses permohonan MyKad remaja itu.

Pada 8 Disember 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan CJ (bukan nama sebenar) sebagai warganegara Malaysia dan mengarahkan JPN mengeluarkan MyKad kepadanya dalam tempoh 30 hari selepas permohonan.

Bagaimanapun, peguam Latheefa Koya, N Surendran, dan Zaid Malek mendakwa JPN Putrajaya sengaja menghalang proses tersebut dengan enggan memberikan borang permohonan MyKad yang sepatutnya.

Sebaliknya, dakwa peguam, JPN menyuruh CJ dan ibunya melengkapkan pelbagai borang lain yang tidak diperlukan oleh perintah mahkamah. 

Borang-borang tersebut, kata mereka, mengandungi 62 kategori dokumen bawah 24 kategori borang yang berbeza.

"Ini adalah satu kegilaan birokrasi yang nyata. CJ dihantar pulang dengan semua borang tersebut, tetapi tanpa borang permohonan MyKad. 

“Ia adalah cubaan jelas untuk mengecewakan dan mengabaikan perintah mahkamah," dakwa mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Menurut peguam lagi, CJ dan ibunya yang juga seorang balu telah ke JPN Putrajaya sebanyak tiga kali sejak Disember lalu, namun gagal mendapatkan borang permohonan. 

Dakwa ditengking pegawai JPN

Malah, terdapat dakwaan ibu remaja berkenaan ditengking oleh pegawai JPN dalam salah satu kunjungan tersebut.

“Kami terkejut dan kesal kerana sebuah jabatan kerajaan persekutuan seperti JPN boleh bertindak tanpa mematuhi undang-undang serta tidak menghormati perintah Mahkamah Tinggi,” kata mereka.

Peguam turut mempersoalkan “syarat tambahan” yang memerlukan tandatangan wakil rakyat dalam salah satu borang yang diberikan.

"Selepas mahkamah mengeluarkan perintah, mengapa JPN berkeras mahukan tandatangan wakil rakyat? Adakah wakil rakyat kini mengatasi perintah mahkamah?" soal mereka.

Kumpulan peguam itu menegaskan bahawa Saifuddin harus memikul tanggungjawab penuh kerana perintah mahkamah tersebut dibuat di hadapan wakil Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mungkin fail prosiding hina mahkamah

Sementara itu, peguam berkata mereka akan hadir ke JPN Putrajaya pada pagi esok bersama CJ dan ibunya untuk menuntut borang permohonan tersebut secara rasmi.

"Jika JPN dan Menteri sekali lagi enggan memberikan borang permohonan MyKad, kami tidak akan teragak-agak untuk memohon kepada mahkamah bagi memulakan prosiding komital (menghina mahkamah)," tegas mereka.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan KDN dan JPN berkaitan dakwaan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS