Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyokong Indira terbuka terima bantuan PAS demi temukan ibu dan anak
Diterbitkan:  Jan 12, 2026 1:57 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) mengalu-alukan dengan tangan terbuka sebarang tawaran bantuan daripada mana-mana pihak, termasuk PAS, dalam usaha menyatukan semula M Indira Gandhi dengan anak perempuannya yang dilarikan, Prasana Diksa.

Menegaskan bahawa “sebarang bantuan amat dihargai”, Pengerusi Ingat Arun Dorasamy berkata Indira telah berulang kali menyatakan bahawa satu-satunya hasratnya ialah untuk bertemu semula dengan anak perempuannya, yang tidak pernah ditemuinya sejak bayi itu berusia 11 bulan.

“Prasana kini berusia 17 tahun – apa jua (agama) yang dia pilih, itu haknya. Itulah pendirian Indira, (yang percaya bahawa) apa sahaja pilihan Prasana adalah keputusannya sendiri – Indira tidak akan paksa apa-apa,” kata Arun kepada Malaysiakini.

“Pada ketika ini, kami akan menerima apa sahaja bantuan yang ditawarkan untuk bertemu Prasana… seorang ibu mempunyai hak mutlak untuk jumpa anaknya – isu agama dan hak penjagaan adalah perkara kedua. Apa juga keputusan Prasana (tentang agama yang mahu diamalkannya) tidak menafikan hakikat bahawa Indira ialah ibunya.”

Pada 29 Disember tahun lalu, ketua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad mengumumkan keputusannya untuk menghulurkan bantuan dalam pencarian Indira terhadap anak perempuannya, dengan berhujah bahawa tiada agama di dunia yang mengajar seorang ibu dipisahkan daripada anaknya.

Menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Prasana, termasuk bekas suami Indira sendiri, supaya menghubunginya sebagai sebahagian usaha memudahcara pertemuan semula secara aman antara ibu dan anak itu.

Dia juga memberi jaminan kepada bapa Prasana, Riduan Abdullah, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, bahawa dirinya tidak berniat untuk “mengganggu” status agama Prasana.

Pada 2016, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menyuarakan sokongan kepada Indira, dengan menyatakan bahawa prinsip Islam menyokong perjuangannya untuk mendapatkan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya, termasuk Prasana, yang ditukar agama secara sepihak oleh Riduan pada 2009.

Walaupun Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2010 memberikan hak penjagaan penuh kepada Indira, Mahkamah Rayuan pada 2014 telah membatalkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan ketua polis negara (KPN) mendapatkan semula Prasana.

Mahkamah Persekutuan pada 2016 kemudian menamatkan pertikaian undang-undang itu dengan mengarahkan polis menangkap Riduan dan menyatukan semula Prasana dengan ibunya.

Di sebalik keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 yang mengisytiharkan penukaran agama kanak-kanak itu secara sepihak sebagai tidak sah serta mengesahkan semula hak penjagaan penuh kepada Indira, sehingga hari ini Prasana masih belum ditemui, manakala dua anak lain kini tinggal bersama Indira.

Arun berkata walaupun Ingat masih belum menerima sebarang perkembangan daripada Zaharudin, pasukan tindakan itu bersama para sukarelawan terus menjalankan usaha mereka, termasuk bekerjasama dan memberi tekanan kepada pihak berkuasa.

Mengulas langkah terbaru polis Ipoh yang merayu bantuan orang ramai untuk mengesan keberadaan Riduan, Arun berkata walaupun tindakan itu dihargai, namun masih wujud persepsi bahawa pihak polis kurang menunjukkan kesungguhan.

Dia mendedahkan bahawa pada pertemuan 10 Disember dengan IGP, Khalid Ismail, dia telah diberikan jaminan “secara jelas dan tegas” bahawa timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan menghubunginya bagi membincangkan perkongsian maklumat risikan.

“Namun, sehingga hari ini, saya tidak menerima satu pun emel, panggilan, atau mesej WhatsApp mengenai perkara itu. Tiada sebarang komunikasi langsung – bagaimana saya hendak percaya mereka (polis) serius?

“Mereka meminta maklumat daripada orang ramai, tetapi jika tiada kesungguhan, bagaimana kita boleh yakin semua maklumat (yang diterima) disusuli tindakan tegas?” soal Arun.

Dia turut menggesa polis supaya menyiarkan gambar dan maklumat Prasana, dengan menegaskan orang ramai perlu dimaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk mengesan kanak-kanak yang hilang itu.

Arun sebelum ini berkata Ingat akan menganjurkan satu perarakan ke Pejabat Perdana Menteri bagi menuntut penyelesaian, susulan pertemuan yang mengecewakan dengan Khalid bulan lalu.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Indira serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) daripada DAP, M Kulasegaran, yang masih belum memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan komen Malaysiakini berhubung tawaran bantuan PAS itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS