Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menyuarakan kebimbangan terhadap kelambatan penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi, dengan menegaskan bahawa keadilan mesti dilaksanakan dalam tempoh yang munasabah.
Berucap semasa Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Wan Ahmad Farid berkata dia sedar berkenaan kelewatan yang berleluasa dalam penyediaan penghakiman bertulis, dan Akademi Kehakiman akan mengambil pendekatan yang bersifat menyokong agar dapat memahami cabaran yang dihadapi para hakim.
Bagaimanapun, dia menegaskan pendekatan tersebut tidak melepaskan hakim daripada tanggungjawab mereka, sambil menambah hakim yang tidak lagi mampu menampung tuntutan tugas wajar menimbang untuk berundur secara terhormat selagi masih ada ruang untuk berbuat demikian.
“Demi kepentingan orang awam yang menantikan keputusan kita, kita tidak boleh membiarkan jentera keadilan tersekat.
“Sejujurnya, dan saya benar-benar maksudkannya, dapur memang dibuka, tetapi hidangan mesti siap tepat pada masanya. Jika dapur itu tidak lagi sesuai dengan anda, pintu keluar tetap merupakan pilihan yang bermaruah,” katanya.
Katanya lagi, seorang hakim yang memiliki tunggakan lebih sepuluh alasan penghakiman yang belum siap menanggung tanggungjawab yang berat, bukan sahaja terhadap sistem kehakiman, malah terhadap nurani mereka sendiri.
Dia menekankan bahawa kelambatan dalam penghakiman bertulis menjejaskan pentadbiran keadilan, memandangkan Mahkamah Rayuan tidak dapat meneruskan prosiding tanpa alasan penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi.
“Bangku kehakiman adalah tempat bagi mereka yang mampu mendepani bahang api. Saya perlu berlaku adil kepada pihak yang terlibat (litigant) dan juga kepada hakim Mahkamah Rayuan yang tidak dapat meneruskan rayuan hanya kerana alasan penghakiman Mahkamah Tinggi belum tersedia,” katanya lagi.
Pada Disember lalu, Wan Ahmad Farid meyuarakan komitmen untuk mempercepatkan penyelesaian kes tertunggak yang tertunggak.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Wan Ahmad Farid merancang beberapa inisiatif di luar mahkamah, termasuk usaha memperluaskan persidangan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di luar Putrajaya bagi memperkukuh amalan advokasi perundangan.
Selain memperkasa persidangan, Ketua Hakim Negara ke-17 itu juga komited untuk menangani tunggakan kes dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), di samping memastikan keseimbangan beban kerja serta kesejahteraan para hakim.
