Bekas menteri besar Selangor, Mohamad Khir Toyo mendakwa kerajaan negeri semasa gagal menangani masalah pengurusan sampah dan pencemaran akibat penternakan babi di negeri itu, sehingga memaksa campur tangan pihak istana.
Menurut Khir, ladang babi di Selangor bukanlah isu baru dan pada 2000 hingga 2006 - iaitu ketika dia mengetuai pentadbiran negeri - tindakan tegas telah diambil untuk menutup kandang babi yang menggunakan sungai dan lombong untuk melepaskan najis babi yang telah menyebabkan pencemaran.
“Sebahagian sungai itu pula adalah sumber air minum rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Semua kandang babi di sepanjang sungai di Hulu Selangor, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Langat berjaya ditutup sepenuhnya, dan pada masa itu tidak lagi berlaku pencemaran najis babi ke sungai yang membekalkan air ke loji rawatan,” katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.
Dia mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan “rasa amat dukacita dan tidak bersetuju” dengan keputusan kerajaan negeri untuk membenarkan operasi penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office, baginda bertitah penduduk menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan.

Malah Sultan Sharafuddin bertitah bahawa kediaman baginda, Istana Pantai Bahagia juga terletak di kawasan Kuala Langat, dan baginda sendiri merasai dan menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi.
Justeru, Sultan Sharafuddin mengusulkan agar wakil rakyat tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi tersebut.
Mengulas lanjut, Khir mendakwa tindakan pentadbirannya menutup kandang babi ditentang hebat oleh DAP, yang menurutnya menggunakan isu tersebut bagi meraih sokongan pengundi Cina.
Begitu juga dengan MCA, dakwanya lagi, yang turut marah dengan tindakannya.
Dia juga mendakwa pernah menerima ugutan agar menghentikan penutupan namun tetap meneruskannya atas faktor keselamatan sumber air penduduk negeri.
“Pada sekitar 2007, kerajaan negeri telah membuat dasar untuk hanya membenarkan penternakan babi berskala kecil dengan pembinaan kandang babi moden yang tidak mencemarkan air dan bau, di tempat penternakan sedia ada.
“Bagi saya kerajaan boleh benarkan penternakan babi moden berskala kecil hanya untuk keperluan rakyat Selangor yang memakannya,” katanya.
Khir turut menyatakan persetujuannya dengan cadangan Sultan Sharafuddin agar wakil rakyat tinggal berhampiran di kawasan penternakan babi.
“Saya sangat setuju dengan cadangan Tuanku supaya Exco dan menteri besar tinggal berhampiran dengan kawasan penternakan babi ini, baru mereka tahu betapa seksanya hidup terpaksa menghirup udara, dan juga air sungai yang sangat busuk hasil daripada pencemaran ternakan babi.
“Pengalaman saya menerjah kandang-kandang babi, saya rasa mereka tak akan sanggup duduk di sana walau untuk satu jam. Justeru itu, saya merayu pada kerajaan supaya bertindak tegaslah, harap-harap DAP berubah,” katanya lagi.
Pada Khamis lalu, Bernama melaporkan kerajaan Selangor telah memutuskan untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor bermula 2029.
Laporan itu memetik Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim sebagai berkata, sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, penternak sedia ada di Tanjung Sepat dibenarkan meneruskan operasi sebelum dipindahkan ke lokasi baru.
