Proses mediasi antara Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh gagal mencapai persetujuan.
Sehubungan itu, perbicaraan kes saman fitnah oleh pemimpin DAP itu akan bermula pada 12 dan 13 Februari di Mahkamah Tinggi Melaka.
“Saya berada di Melaka pagi ini untuk menghadiri mediasi yang diperintahkan mahkamah di Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi Melaka berhubung saman fitnah yang saya failkan pada tahun 2024 terhadap Dr Akmal Saleh berhubung isu Pensijilan Halal.
“Mediasi itu tidak berjaya, dan perkara itu kini akan dibicarakan pada 12 & 13 Februari di Mahkamah Tinggi Melaka. selepas proses mediasi kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan,” katanya dalam satu hantara di media sosial hari ini.
Proses mediasi itu dikatakan berlangsung hampir sejam itu membabitkan antara Kok dan Akmal yang masing-masing diwakili peguam Sankara Nair dan Syahrul Sazwan Salehin serta Iqbal Harith Liang.
Peguam Sankara Nair berkata, sebarang perbincangan yang berlaku sepanjang proses mediasi tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia tertakluk kepada peraturan dan arahan mahkamah.
Pada Oktober 2024, Malaysiakini melaporkan Kok memfailkan saman fitnah ke atas Akmal bagi menuntut ganti rugi RM25 juta.
Dia mendakwa kenyataan Akmal, antara lain, merujuknya sebagai “nyonya tua”, membayangkannya sebagai seorang yang rasis, tidak menghormati Islam dan tidak memahami isu pensijilan halal, tidak sensitif dan mengancam keamanan dan keharmonian negara.
Kok mendakwa Akmal membuat kenyataan itu menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Facebook dan Instagram dan mahu kerajaan menyediakan logo non-halal untuk ditampal di dahi ahli parlimen veteran itu.
Pertikaian antara dua pemimpin parti kerajaan itu bermula apabila Kok menolak cadangan mewajibkan peniaga yang tidak menjual babi dan arak untuk memohon sijil halal.
