Tiga ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) dalam pertemuan dengan Muhyiddin Yassin hari ini menyuarakan pendirian sayap masing-masing berhubung peletakan jawatan presiden Bersatu itu sebagai pengerusi PN.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pemuda MIPP Justin Prabakaran berkata dia bersama Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham dan Ketua Pemuda Gerakan Lee Boon Shian telah mencadangkan supaya Muhyiddin menarik balik peletakan jawatannya dan terus menerajui gabungan pembangkang itu.
“Kami menghormati keputusan Muhyiddin untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN. Walau bagaimanapun, perletakan jawatan tersebut pastinya memberi impak kepada wajah PN khsusnya dalam pilihan raya umum akan datang.
“Untuk menang dalam pilihan raya, PN harus diterajui oleh figura yang boleh menjana penyatuan dan menggarap dukungan majoriti rakyat Malaysia,” kata Justin selepas pertemuan selama dua jam di kediaman Muhyiddin.

“Justeru, ketiga-tiga sayap berpendirian, perihal ini mestilah diselesaikan secara konsensus sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3(I) Perlembagaan PN,” katanya.
Sebelum ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk mengambil alih kepimpinan PN.
Bagaimanapun, persoalan masih timbul mengenai calon pengganti Muhyiddin, dengan dilaporkan wujud perebutan dalaman antara kelompok ulama PAS yang dikatakan menyokong Hadi atau timbalan presiden parti Tuan Ibrahim Tuan Man, dan pihak lain yang menyokong tokoh profesional termasuk Menteri Besar Terengganu merangkap naib presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.
‘Pengerusi PN mesti presiden parti’
Justin turut menegaskan pendirian tiga sayap Pemuda bahawa pengerusi PN mestilah seorang presiden parti yang mempunyai kuasa eksekutif dan autoriti membuat sebarang keputusan dasar bagi memastikan kelancaran pentadbiran.

“PN wajar diperkasakan dengan etika gabungan, disiplin pentadbiran serta kerjasama politik dengan parti-parti yang terlibat dalam Ikatan Prihatin Rakyat,” kata Justin.
Dia juga mengulangi bahawa sebarang tafsiran berbeza mengenai kelayakan seseorang pemimpin untuk memegang jawatan pengerusi PN perlu dirujuk kepada Fasal 20 Perlembagaan PN.
Menurut Justin, fasal berkenaan menyatakan: “Jika timbul sebarang kekeliruan tentang pentafsiran, susunan dan pengertian mengenai mana-mana peruntukan di dalam fasal Perlembagaan ini atau mana-mana peraturan dan perintah tetapnya, maka tafsiran, susunan dan pengertian mengenai fasal itu yang dibuat dengan suara majoriti ahli-ahli Majlis Tertinggi adalah terpakai dan muktamad.”
‘Mana hormat yang dituntut?’
Tidak hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang sebelum ini juga tidak menyokong kenyataan bertarikh 30 Disember oleh tiga ketua Pemuda PN lain bahawa sebarang keputusan mengenai kepimpinan gabungan perlu dirujuk, dibincang dan diluluskan oleh majlis tertinggi PN.

Semalam, Justin dan Hilman secara berasingan menyuarakan bantahan terhadap gesaan Abdul Hadi supaya pimpinan gabungan segera mengadakan mesyuarat majlis tertinggi dan melantik pengerusi baharu.
Sebaliknya, mereka berpandangan bahawa parti-parti komponen perlu diberikan masa terlebih dahulu untuk bermesyuarat dan membuat pertimbangan.
Dalam sindiran tersirat terhadap Hilman, Afnan semalam berkata: “Ada yang kata minta PAS hormati ketetapan parti-parti komponen mengenai pelantikan pengerusi PN yang baharu kelak.”
“Nak tanya sikit. Masa kamu umumkan pemimpin parti kamu sebagai calon tunggal untuk jadi PM, ada kamu hormat ketetapan parti-parti rakan?
“Umum pulak di depan batang hidung kawan dalam majlis yang kamu jemput kawan datang jadi tetamu. Waktu itu ada kamu hormat kawan?” soal ahli Parlimen Alor Setar itu.
“Brother. Kalau nak minta kawan beri hormat, kenalah hormat juga kawan. Simple,” katanya merujuk tindakan Adun Bersatu di Perlis baru-baru ini, yang menjatuhkan menteri besar dari PAS sehingga mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua parti.
Menjelang mesyuarat dalaman PAS yang dijangka bagi memuktamadkan calonnya untuk menggantikan Muhyiddin, Mursidul Am parti Hashim Jasin malam tadi memuat naik sekeping gambarnya bersama Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali.
Ulama kanan itu turut memuat naik kapsyen ringkas, “Insya-Allah, Alhamdulillah”, tanpa penjelasan lanjut.
Malaysiakini difahamkan pertemuan itu juga berlangsung di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
