Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib gagal rayuan hidup semula saman RM1.9 juta terhadap bekas AG

Mahkamah Rayuan pagi ini menolak rayuan bekas perdana menteri Najib Razak untuk untuk menghidupkan semula tuntutan saman RM1.9 juta terhadap bekas peguam negara (AG) Tommy Thomas.

Dalam penghakimannya, panel tiga hakim yang diketuai oleh P Ravinthran berkata walaupun mahkamah tidak bersetuju dengan penemuan terdahulu oleh Mahkamah Tinggi bahawa AG mempunyai imuniti terhadap saman sivil, namun keputusan hakim mendapati saman Najib adalah pramatang adalah betul.

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan Najib membayar kos RM12,000 kepada Thomas.

"Rayuan ditolak," kata Ravinthran semasa membacakan keputusan hari ini. smbil menambah tidak ada salah laku dalam tindakan Thomas kerana dia tidak mengetuai pendakwaan terhadap Najib dalam empat kes mahkamah terhadapnya.

Dua lagi ahli panel hakim lain adalah hakim Mahkamah Rayuan Wong Kian Kheong dan Nadzarin Wok Nordin.

Dalam ringkasan penghakiman mereka, mahkamah menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan penemuan hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Bache bahawa Thomas mempunyai imuniti dan tindakannya semasa memegang jawatan tidak boleh dihukum.

"Berhubung isu kekebalan (imuniti) dan justifikasi, kami tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan kekebalan kepada Peguam Negara berhubung dengan tindakan sivil yang diambil terhadapnya secara peribadi.

"Kes-kes yang dirujuk oleh Mahkamah Tinggi tidak terpakai memandangkan terdapat kes-kes jenayah di mana budi bicara Peguam Negara telah dicabar.

"Namun, kami bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa memandangkan kes-kes jenayah itu belum dimulakan ketika saman sivil ini difailkan, tindakan atas dasar salah laku, proses berniat jahat dan kecuaian jelas sekali pramatang," katanya.

Dalam saman sivilnya yang difailkan pada tahun 2020, Najib mendakwa Thomas telah melakukan salah laku dalam jawatan awam apabila dia mendakwanya atas tuduhan berkaitan kes 1MDB.

Saman Najib terhadap Thomas adalah berkaitan pendakwaan salah yang didakwa dilakukan oleh bekas menteri kewangan itu dalam empat kes jenayah yang sedang berjalan, iaitu kes rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion, kes laporan audit 1MDB, kes pecah amanah jenayah (CBT) International Petroleum Investment Company (IPIC) bernilai RM6.6 bilion, dan kes pengubahan wang haram SRC International bernilai RM27 juta.

Bekas ahli Parlimen Pekan itu memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan salah laku dalam jawatan awam serta ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi dalam keputusan pada 25 November 2022 telah membatalkan saman tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache memutuskan bahawa bekas perdana menteri itu gagal memberikan bukti bahawa Thomas melakukan salah laku dalam jawatan awam, proses berniat jahat dan kecuaian dalam empat kes mahkamah.

Ahmad menegaskan bahawa duluan undang-undang masih mengesahkan hakikat bahawa kuasa perlembagaan peguam negara di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan atau menarik balik pertuduhan jenayah, bukanlah kuasa yang boleh dicabar di mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS