Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan Kristianisasi: Hannah menang saman fitnah ke atas bekas IGP
Diterbitkan:  Jan 13, 2026 1:41 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menang dalam rayuannya untuk mengketepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap bekas ketua polis negara (IGP), Musa Hassan.

Dalam menyampaikan penghakiman sebulat suara mahkamah, Hakim Azimah Omar yang kini hakim Mahkamah Persekutuan berkata pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf apabila menolak saman Yeoh pada tahun 2024.

“Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf dalam keputusannya ketika menolak saman Hannah.

"Kami membenarkan rayuan ini dan memerintahkan agar keputusan beliau diketepikan," kata Azimah yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Choo Kah Sing dan Shahnaz Sulaiman.

Hakim Azimah Omar

Mahkamah turut memerintahkan Musa supaya membayar ganti rugi RM250,000 dan kos RM60,000 kepada Yeoh.

Azimah berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila menerima pembelaan defendan berhubung justifikasi, komen yang wajar dan perlindungan bersyarat berhubung kenyataan yang didakwa perayu sebagai berunsur fitnah. 

Hakim itu juga berkata Musa dalam pembelaannya telah memanggil pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff untuk memberi keterangan namun bukti yang dikemukakan saksi itu hanyalah pandangan peribadi dan dia tidak diiktiraf sebagai saksi pakar.

"Pesuruhjaya Kehakiman telah melakukan percanggahan dalam keputusannya apabila memutuskan bahawa Kamarul adalah saksi 'fakta' dan Musa boleh bergantung kepada 'pandangan' beliau dalam pembelaannya," katanya sambil menambah pada tahun lepas, Kamarul juga kalah dalam satu lagi kes saman fitnah yang difailkan oleh Yeoh.

Azimah juga berkata tiada keterangan yang menunjukkan bahawa perayu telah menggunakan buku Becoming Hannah, a Personal Journey  untuk menyebarkan agamanya atau merosakkan Islam. 

“Jika demikian, maka Bible juga tidak seharusnya diletakkan di rak. Anggapan sedemikian adalah tidak munasabah,” katanya sambil menambah bahawa hujah berhubung kedudukan defendan sebagai bekas ketua polis negara termasuk dakwaan bahawa dia memerlukan kebebasan untuk bersuara mengenai isu kepentingan nasional atau agama, tidak memberikan kebebasan mutlak untuk dirinya membuat kenyataan tanpa mengambil kira kewajaran, tanggungjawab atau akauntabiliti.

Azimah berkata meskipun defendan mungkin memegang jawatan yang berpengaruh, adalah tidak boleh diterima dan tidak pernah berlaku dalam undang-undang untuk membiarkan individu sedemikian menyebarkan perkara tidak benar secara melulu. 

“Sebagai rumusan, defendan (Musa) gagal membuktikan pembelaan komen wajar atau perlindungan bersyarat, dan pergantungan beliau terhadap niat jahat juga ditolak.

"Kenyataan berunsur fitnah tersebut adalah serius, dibuat secara terbuka dan sangat memudaratkan manakala tindakan defendan menunjukkan kecuaian serta pengabaian terhadap hak plaintif.

“Mengambil kira semua faktor, kami dengan ini menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada plaintif. Selain itu, kami memberikan kos RM60,000 kepada plaintif,” katanya lagi

Ahli Parlimen Segambut itu memfailkan saman berkenaan pada tahun 2020 selepas Musa pada satu forum di Universiti Teknologi Mara mendakwa bahawa bukunya yang bertajuk 'Becoming Hannah' bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

Kamarul Zaman Yusoff (kiri)

Selain itu Yeoh yang ketika itu adalah menteri belia dan sukan juga dituduh mempunyai hubungan dengan mubaligh Kristian dan Yahudi untuk menjejaskan agama Islam serta Malaysia, dan mengutamakan kepentingan peribadi berbanding negara.

Yeoh dalam autobiografi antara lain menceritakan perjalanannya sebagai seorang wanita Malaysia biasa yang hidupnya diubah melalui kepercayaan Kristiannya, yang kemudiannya membawanya ke dalam politik.

Selain peguam Lim Wei Jiet, pemimpin DAP itu turut diwakili peguam, Razlan Hadri Zulkifli, S Ambiga dan Sangeet Kaur Deo manakala Musa sebagai responden diwakili peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Pada 23 Disember 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Yeoh dengan alasan dia gagal membuktikan bahawa kenyataan Musa sebagai fitnah.

Selepas prosiding mahkamah hari ni, Yeoh berkata dia bersyukur dan gembira dengan keputusan itu kerana selama enam tahun, dia terpaksa hidup dengan pelbagai pembohongan serta fitnah yang berlegar di media sosial yang bukan sahaja mencemarkan nama baiknya malah turut mengelirukan orang ramai memandangkan tuduhan itu dibuat oleh bekas ketua polis negara.

“Kini, tumpuan saya adalah untuk terus melaksanakan amanah kepada rakyat dengan penuh integriti, tanggungjawab dan keikhlasan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS