Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seksyen 233 tidak sah - 6 Feb keputusan rayuan kerajaan
Diterbitkan:  Jan 13, 2026 6:25 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Mahkamah Persekutuan menetapkan 6 Feb ini untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan kerajaan terhadap Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa perkataan “menghina” dan "menjengkelkan” dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah tidak berpelembagaan dan tidak sah.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan tarikh berkenaan selepas kesemua pihak yang terlibat dalam rayuan terbabit selesai mengemukakan hujah masing-masing.

Turut bersidang, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali serta Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pada tahun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan “menghina ”dan “menjengkelkan” dalam Seksyen 233 sebagai tidak berpelembagaan dan membatalkannya selepas membenarkan rayuan aktivis, Heidy Quah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2023.

Wanita itu mempertikaikan penggunaan istilah berkenaan yang didakwanya bercanggah dengan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada Julai 2021, Quah, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat kenyataan menyinggung perasaan menerusi satu hantaran di Facebook dan pada 2022, beliau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mahkamah mendapati pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) adalah cacat.

Di Mahkamah Persekutuan hari ini, Peguam Persekutuan Kanan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin berhujah bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila membatalkan dua perkataan dalam Seksyen 233.

Shamsul berhujah bahawa pindaan yang dibuat terhadap Seksyen 233 tahun lepas telah menggantikan perkataan “offensive” (menghina) dengan “grossly offensive” (sangat menghina) dan memasukkan penjelasan bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “grossly offensive”.

“Walaupun terdapat pindaan, Mahkamah Rayuan dalam kes Quah mengehadkan pendapatnya kepada perlembagaan perkataan yang dipertikaikan dalam Seksyen 233 sebelum pindaan,” katanya.

Liew berhujah keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan dua perkataan dalam Seksyen 233 mempunyai implikasi yang luas termasuk memberi kesan kepada individu yang telah dilepaskan dan dibebaskan.

Beliau berkata penghakiman berkenaan juga menimbulkan ketidakpastian undang-undang, dengan pesalah akan diperlakukan berbeza bergantung pada sama ada kesalahan dilakukan sebelum atau selepas pindaan.

Sementara itu, peguam Benjamin John Dawson mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dibenarkan campur tangan dalam rayuan terbabit berhujah dua perkataan berkenaan tidak sepatutnya dibatalkan.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan gagal mempertimbangkan matlamat Seksyen 233 adalah untuk menghalang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian komunikasi elektronik awam yang menyalahi piawaian asas masyarakat.

Peguam Quah, Datuk Malik Imtiaz Sarwar dalam hujahnya pula berkata Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan betul dengan memutuskan dua perkataan dalam Seksyen 233 sebagai tidak berpelembagaan.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang tepat dalam memutuskan bahawa perkataan dalam Seksyen 233 adalah tidak selaras dengan kepentingan awam atau moral di bawah Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Malik Imtiaz berkata dua perkataan itu menjadikan pelbagai bentuk percakapaan harian sebagai jenayah, tanpa sebarang pembelaan atau pengecualian bagi kesalahan di bawah Seksyen 233.

Peguam K Shanmuga mewakili Majlis Peguam Malaysia manakala peguam Lim Wei Jiet mewakili Suara Rakyat Malaysia, Clooney Foundation for Justice serta Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (Ibahri). Keempat-empat organisasi itu hadir sebagai amicus curiae (rakan mahkamah).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS