Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Ketahanan mental faktor besar penentu juara

ULASAN SUKAN | Legenda badminton negara, Lee Chong Wei, menyuarakan betapa cabaran terbesar kepada pemain badminton negara pada saat ini sebenarnya bukanlah datang daripada pihak lawan.

Dia percaya jaguh negara kita mampu menandingi sesiapa saja di atas gelanggang. Namun, katanya, apa yang lebih sukar ialah menguruskan tekanan yang digalaskan ke bahu mereka oleh peminat, khususnya ketika beraksi di laman sendiri.

Kata-kata itu terarah kepada pencapaian pemain elit negara di kejohanan Terbuka Malaysia yang berakhir di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Jan lalu.

“Bukan semua pemain boleh beraksi di bawah tekanan apabila bermain di tempat sendiri,” katanya selepas tamat acara final.

“Ada yang boleh, ada yang tak boleh. Bermain di gelanggang sendiri seharusnya satu kelebihan, tapi tekanan yang digalas itu sebenarnya amat berat.”

Apa disebut oleh pemenang pingat perak tiga kali di Sukan Olimpik itu mungkin ada benarnya. Ia terbit daripada pengalaman sendiri.

Kini, dia hanya mahu membantu pemain negara lebih bersedia meniti ke tahap tertinggi.

Seperti mahu menyahut cabaran itu, jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik nyaris menidakkan tanggapan Chong Wei, kelmarin.

Dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia kelmarin, pasangan nombor dua dunia itu berjaya menjelmakan perwatakan garang yang jarang-jarang kita dapat saksikan di tempat sendiri.

Mereka hadir penuh bersemangat mahu menamatkan kemarau tanpa gelaran untuk negara sejak 2018. Namun, segala keringat dan sifat rajin serta disiplin mereka belum cukup untuk menundukkan juara dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Tekanan pada detik genting

Apa yang harus dipuji ialah semangat jitu mereka yang enggan mudah mengalah kepada pasangan lawan yang lebih tersohor itu. Hasilnya mereka berjaya mengheret permainan kepada tiga set.

Faktor sorakan gemuruh lebih 10,000 penonton di Axiata Arena juga antara sebab aksi mereka menjadi dan hampir menjadi muncul juara.

Sebenarnya di situ kita sedang melihat Aaron-Wooi Yik yang berwajah baru.

Cuma aspek ketahanan mental dan kesilapan pada penghujung babak set ketiga memisahkan pasangan negara dengan lawan mereka dan gagal menjulang gah trofi kejuaraan dalam Siri Super 1000 itu.

Pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky, secara ringkas menyebut anak didiknya itu kecundang dek tekanan pada saat-saat penting.

Rexy Mainaky

Pada pengamatan Rexy, kepintaran Seung Jae menguasai permainan serta ketahanan mental pasangan Korea Selatan itulah yang membezakan segala-galanya.

Ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi, pula tetap memuji Aaron-Wooi Yik dengan menyifatkan persembahan mereka adalah antara yang terbaik. Cuma nasib tidak menyebelahi anak didiknya kali ini.

Benarlah elemen yang disebut Chong Wei, iaitu tekanan di tempat sendiri yang boleh membuat pemain muda melakukan kesilapan.

Pemain tersohor negara itu – yang memenangi 69 gelaran antarabangsa termasuk 12 kali kejuaraan Terbuka Malaysia – juga akur pernah melalui detik seperti itu. Padanya, situasi itu tidak pernah selesa untuk dihadapi.

Ringkasnya, pemain negara boleh belajar bagaimana ‘abang’ mereka itu mampu mencari ilham untuk melepasi halangan sukar di bumi sendiri.

Pasangan paling tekal

Bila agaknya pemain utama negara dapat mengatasi isu penting seperti ini? Jelas sekali, kebanyakan mereka memiliki taktik dan teknik hampir sama dengan pemain bintang lain seperti dari China, Korea Selatan atau Jepun.

Ini bukan kali pertama kita menyaksikan senario sebegini – nyaris menang namun tewas akhirnya – sama ada di Terbuka Malaysia atau kejohanan utama lain di bumi sendiri.

Lebih menyedihkan, keadaan yang sama turut dialami oleh sukan lain.

Kita pun tidak tahu secara khusus, dari mana kepincangan seperti ini hadir. Kita harus perlahan-lahan mengikisnya dan mengajar ahli sukan tentang aspek kekuatan mental seawal di peringkat sekolah, umpamanya.

Harap-harap badminton dapat memulakan sesuatu yang baru pada permulaan tahun ini. Misalnya menjadi liat macam kuda api (Fire Horse).

Sudah terbukti pemain utama kita – terutama bagi acara beregu – sudah berjaya memenangi beberapa gelaran dalam Jelajah Dunia BWF dan kejohanan utama lain di luar negara sepanjang tahun lalu.

Pearly Tan-M Thinaah dan Aaron-Wooi Yik, umpamanya, boleh dikatakan paling konsisten selepas berjaya layak ke final beberapa kali.

Paling unggul seharusnya pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menjuarai Kejohanan Dunia di Paris pada 31 Ogos tahun lalu, sekali gus menambah kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan kita.

Ini memberi petanda, pemain negara tidak ketinggalan jauh berbanding pemain elit dunia untuk memburu gemilang.

Segala-galanya terletak kepada kekuatan minda masing-masing. Jurang antara mereka dengan bintang dunia lain semakin kecil.

Kita lihat bagaimana pula perkembangan pemain negara selepas ini berdasarkan apa yang diumumkan oleh Chong Wei selaku pengerusi prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dia mengesahkan BAM merancang membawa masuk lima hingga enam jurulatih baru bagi memantapkan struktur kejurulatihan skuad kebangsaan, termasuk pasukan remaja.

Kita amat mengharapkan sesuatu yang positif hadir daripada inisiatif baru ini. Senario yang dapat dilihat pada saat ini ialah badminton semakin diminati rakyat yang dahagakan gelaran utama dunia.

Nampak macam permainan raket ini seperti sudah menjadi sukan nombor satu negara, kan?


V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS