Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang bermula hari ini dijangka menjadi medan penting bagi parti itu menentukan hala tujunya bersama Kerajaan Perpaduan, terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Lebih 6,400 perwakilan daripada 191 bahagian akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sehingga Sabtu ini, bagi meneliti perbahasan perwakilan serta mendengar amanat daripada kepimpinan tertinggi parti.
PAU kali ini berlangsung setelah hampir tiga tahun Umno menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
Jika dahulu slogan “No Anwar, No DAP” menjadi teras retorik politik Umno, PAU 2026 dijangka menguji sejauh mana akar umbi dapat menerima realiti politik baru.
Situasi ini memerlukan peranan berterusan daripada kepimpinan untuk memperjelaskan pendirian Umno: sama ada terus melangkah secara pragmatik dalam Kerajaan Perpaduan atau kembali kepada pendekatan politik lama.
Usul mengenai Muafakat Nasional
Dilema itu timbul semula susulan gesaan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, agar parti itu menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

Gesaan Akmal agar Umno keluar daripada kerajaan dan bekerjasama dengan PAS demi penyatuan Melayu bagaimanapun ditolak Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid menegaskan parti itu tidak akan “dipatuk ular dua kali di tempat yang sama”, merujuk kepada pengalaman lalu bersama PAS yang didakwanya mengkhianati Umno.
Bukan sahaja Ahmad Zahid, malah beberapa pemimpin Pemuda Umno sendiri tampil menolak cadangan Akmal agar parti itu kembali menjadi pembangkang.
Susulan penolakan itu, Akmal memberikan bayangan kemungkinan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno dan Adun Merlimau.
Namun pemimpin Umno Melaka itu terus bermain teka-teki apabila mengatakan keputusan muktamad hanya akan dimaklumkan ketika PAU berlangsung, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan.

Apapun, PAU 2026 dijangka menjadi pentas penting untuk melihat sama ada agenda MN akan terus bergema atau dikuburkan secara rasmi oleh kepimpinan parti.
Bagi beberapa penganalisis politik, PAU kali ini akan memuktamadkan pendirian Umno untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Pakar geostrategi, Profesor Dr Azmi Hassan, dilapor berkata PAU adalah platform terbaik untuk menamatkan sebarang spekulasi sama ada Umno akan kekal dalam kerajaan atau membuat keputusan sebaliknya.
Dipetik Bernama, dia yakin parti itu tidak akan mengambil langkah drastik yang berisiko menggoncang kestabilan kerajaan dan politik negara.
Meskipun begitu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno tidak akan menghalang perwakilan daripada membangkitkan isu keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama dengan PAS.
Menurutnya, perwakilan boleh menyentuh mengenai isu itu walaupun tidak ada satu pun daripada keseluruhan 662 usul yang diterima Ibu Pejabat Umno menyentuh isu berkenaan.
Cabaran dalaman: MCA, MIC dan Najib Razak
Perbincangan juga dijangka menyentuh polemik kedudukan MCA dan MIC dalam BN, khususnya hubungan Umno dengan MIC yang kini dilihat bagaikan telur di hujung tanduk.

Pemimpin MIC sebelum ini secara terbuka mempersoalkan hala tuju BN, ketika sebahagian pimpinan Umno pula melihat MIC gagal memberikan nilai tambah dalam usaha meraih sokongan masyarakat India.
Selain itu, laungan menuntut pembebasan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dijangka sekali lagi akan bergema di WTC.
Asyraf memaklumkan sebanyak 104 bahagian di seluruh negara telah menghantar usul mengenai pengampunan penuh terhadap Najib, menjadikannya usul paling banyak diterima daripada keseluruhan 662 usul pada PAU kali ini.
Tahun lalu, usul sama turut menjadi yang tertinggi diterima dengan 72 bahagian menyokong.
Justeru PAU kali dijangka akan terus menjadi medan bagi Umno mendesak kerajaan memberikan pengampunan penuh kepada bekas perdana menteri itu.
Selain itu, pendamaian dengan pemimpin Umno yang digantung atau dipecat sebelum ini turut dijangka berlegar di luar dewan.
PAU dijangka menjadi medan untuk melihat sama ada kepimpinan memilih pendekatan rekonsiliasi bagi menguatkan parti, atau mengekalkan garis tegas bagi mengelakkan cabaran dalaman.
Sehingga kini, isyarat yang muncul lebih cenderung kepada pendekatan berhati-hati kepimpinan dalam mengimbangi kehendak akar umbi dengan kestabilan parti.
