Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Gejala rasuah di negara kita masih membimbangkan. Namun lebih daripada itu, yang amat menggusarkan ialah betapa ia kelihatan cuba dinormalisasikan atas asalan ia sudah sering dilakukan.  

Dalam Islam, perbuatan rasuah sangat dilarang. Di sebalik pengharaman itu, masih ramai orang kenamaan beragama Islam yang terlibat.

Rasuah merujuk kepada perbuatan memberi atau menerima sogokan untuk menjadikan sesuatu yang benar itu salah, atau mengambil hak seseorang secara batil.  

Allah SWT telah berfirman melalui surah al-Baqarah ayat ke-188 bermaksud “Dan janganlah kamu memakan harta antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu menyuapkan dengan harta itu kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui.”  

Malangnya gejala rasuah terus menular seolah-olah ia perkara normal. Rasuah bukan saja keji dan hina sehingga boleh merosakkan sistem kehakiman negara, ia juga mengakibatkan kerosakan ekonomi negara.

Baru-baru ini Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat keputusan untuk mengklasifikasikan kes rasuah Presiden Umno, Ahmad Zahid, sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) sedangkan keputusan mahkamah tinggi memutuskan wujud kes prima facie.

Tindakan AGC itu mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang mengecamnya, malah menuntut agar dilakukan proses pendakwaan semula terhadap Ahmad Zahid.

Sebagai bekas peguam saya juga tertanya-tanya bagaimana satu kes yang dipanggil untuk membela diri oleh mahkamah kemudiannya diklasifikasikan sebagai NFA.

Boleh terkecuali daripada hukuman

Apabila mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya di peringkat pendakwaan, adalah jelas wujud kes yang perlu dijawab oleh tertuduh. Maksudnya pihak pendakwaan berjaya membuktikan ada unsur jenayah seperti dipertuduhkan ketika di peringkat pendakwaan.  

Saksi-saksi, bukti-bukti dan hujahan yang dibuat oleh pendakwaan diterima oleh hakim. Tetapi apabila kemudiannya ia dianggap NFA, tentulah ia menimbulkan persoalan.  

Keadaan adalah berbeza jika Ahmad Zahid berjaya membuktikan dia tidak bersalah setelah membela diri. Jika begitu, tentulah kes berkenaan tidak dipertikaikan oleh orang ramai.

Memanglah dari segi perundangan menjadi hak pihak pendakwaan untuk menjalankan atau membatalkan sesuatu kes, tetapi kes yang diperkatakan sekarang berprofil tinggi.  

Ia perlu diperjelaskan secara tuntas sehingga rakyat boleh menerimanya dan berkata:  Oh… begitu rupanya.”

Apabila seorang pemimpin politik yang didapati ada kes prima facie dilepas serta dibebaskan, ia menghantar mesej yang salah kepada masyarakat bahawa seseorang yang berkuasa atau dan ada kedudukan terlindung daripada hukuman.  

Pada masa sama timbul juga persoalan terhadap kesungguhan PKR untuk membawa pentadbiran yang bersih dan tegas menentang rasuah.

Reformasi yang tulen memerlukan pelaksanaan yang menyeluruh, bukannya ‘di sini masak dan di sana setengah masak.’

Baru-baru ini juga bekas perdana menteri, Najib Razak, dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terkait 25 tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan dan pengubahan wang haram bernilai RM2.3 bilion dana 1MDB.  

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan rayuan hukuman daripada kedua-dua belah pihak. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara serentak itu bermula selepas Najib tamat menjalani hukuman pemenjaraan kes terdahulu.

Sekiranya Najib gagal membayar denda tersebut dia boleh dipenjara 40 tahun lagi. Maka ramailah penyokong Najib menangis mendengar keputusan tersebut.

Walaupun mungkin Najib sangat disayangi sesetengah orang di Malaysia, undang-undang mesti dipatuhi. Rasuah adalah kes yang sangat berat dan boleh menjadi beban kepada negara.

Anggap undang-undang tak adil  

Media pada minggu lalu melaporkan bahawa sebanyak 104 bahagian Umno di seluruh negara menghantar usul berhubung pengampunan penuh terhadap Najib agar ia dibahaskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ini.  

Kes yang mana hendak Umno mohonkan dapat pengampunan penuh?  

Perlu diingat bahawa ada lagi kes Najib yang belum selesai sepenuhnya termasuk berada di peringkat Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, selain perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Memanglah Najib ada berjasa kepada negara, tetapi ia bukanlah alasan untuk mengecualikan dia daripada sebarang tindakan perundangan dan hukuman – jika didapati bersalah oleh mahkamah.

Kes 1MDB bukan sekadar melibatkan ratusan ribu ringgit sebaliknya jauh lebih besar dan menjadi liabiliti kepada negara untuk tempoh yang begitu lama.

Sebaiknya biarlah Najib menjalani proses undang-undang sama seperti orang lain. Jika nanti akhirnya terbukti dia tidak bersalah, maka wajib dibebaskan.

Pun begitu, corak berfikir sesetengah orang memang kompleks dan sukar untuk dimengertikan.  

Hal itu kerana ketika semua orang menolak serta mengeji rasuah, sikap itu boleh berubah tiba-tiba apabila melibatkan orang yang mereka sayang atau sanjung.

Lebih parah, ada yang menganggap undang-undang tidak adil walaupun proses perundangan dijalankan.

Rasuah perlu ditentang tanpa memilih bulu.


SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam yang pernah bertugas sebagai peguam syarie di Brunei Darussalam sebelum bersara pada hujung 2023. Dia kini menjadi penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS