Seorang bekas aktivis Bersih telah menggesa kerajaan untuk menarik balik permohonannya bagi menyemak semula pengisytiharan Mahkamah Persekutuan bahawa peruntukan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 adalah tidak berperlembagaan.
Dalam satu catatan Facebook, Mandeep Singh mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri pernah didakwa di bawah akta itu kerana menggunakan haknya untuk berhimpun.
"Berhimpun untuk membantah adalah hak rakyat Malaysia. Tugasan pemerintah dan penguat kuasa adalah untuk memudah cara proses rakyat yang mahu berhimpun.
"Sebagai kerajaan yang mengangkat reformasi institusi sebagai agenda pembaharuan, kita sepatutnya terima keputusan mahkamah ini untuk mempertahan hak berhimpun.
"Jangan kita lupa, PM Anwar Ibrahim sendiri pernah didakwa dibawah APA 2012 kerana Bersih 3," katanya.
Mandeep dikenali sebagai bekas pengurus sekretariat Bersih yang menceburi politik selepas PRU14 pada 2018. Dia kini merupakan pegawai khas kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Pada Julai tahun lepas, panel lima hakim yang diketuai oleh ketua hakim ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat, telah menyampaikan keputusan sebulat suara yang menganggap Seksyen 9(5) APA tidak berperlembagaan.
Klausa tersebut menetapkan bahawa penganjur boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 kerana gagal memberikan notis kepada polis, lima hari sebelum perhimpunan yang dirancang.
Tengku Maimun berkata Seksyen 9(5) APA mengenakan hukuman yang melebihi had yang dibenarkan di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Pengarah eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd Hadi semalam mengecam kerajaan selepas dia mengetahui bahawa Jabatan Peguam Negara telah mengemukakan permohonan untuk semakan di bawah Peraturan 137 Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995, yang menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan boleh menyemak semula keputusan lalu untuk mencegah sebarang ketidakadilan atau penyalahgunaan proses.
