Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kongsi rezeki tanpa sempadan: Kasih ibu terhadap anjing jalanan

Di sebalik stigma masyarakat Muslim terhadap anjing, seorang wanita memilih untuk memberi makan kepada anjing jalanan sebagai sebahagian daripada amalannya.

Bagi Airis Yasmin, 28, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya berakar daripada didikan sejak kecil.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia dibesarkan dalam keluarga yang menekankan nilai ihsan terhadap semua makhluk, tanpa mengira rupa atau jenis.

Airis yang berasal dari Banting, Selangor berkata, ibu bapanya sentiasa menunjukkan sikap kasih sayang terhadap haiwan terbiar sejak dia kecil, khususnya kucing jalanan. 

Mereka juga sering berpesan agar dia berbuat baik dan menggunakan sebahagian wang yang ada untuk membelikan makanan kepada haiwan jalanan agar haiwan-haiwan itu tidak kelaparan.

“Sejak kecil ibu bapa saya membiasakan saya berbuat baik kepada binatang. Apabila saya dewasa, saya pula ingin membiasakan anak saya untuk berkongsi rezeki dengan haiwan jalanan,” katanya yang sudah lama bertekad untuk berkongsi rezeki dengan haiwan yang terpinggir daripada perhatian masyarakat.

Anjing juga merupakan makhluk ciptaan Tuhan yang berhak untuk dikasihi, kata anak sulung daripada dua adik beradik itu.

“Saya tidak peduli apa pandangan masyarakat, kerana saya tahu Tuhan lebih mengerti niat saya,” kata eksekutif pemasaran itu kepada Malaysiakini.

Sering berkongsi kegiatannya itu di TikTok, Airis tidak kecil hati mahupun marah apabila ada netizen yang menyuarakan kecaman dan pandangan negatif terhadapnya.

Dia sebaliknya memilih untuk menerimanya dengan hati terbuka.

“Saya tidak membenci sesiapa. Kita tidak mampu memuaskan hati semua orang,” ujarnya.

Dia memberi makan kepada anjing jalanan sekitar tiga hingga empat kali seminggu, bergantung kepada kelapangan masa.

Dia bagaimanapun enggan menyatakan tempat dia biasa melakukan kegiatan itu atas faktor keselamatan dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Jenis makanan yang sering disediakan ialah makanan kibbles yang boleh dibeli di kedai haiwan peliharaan atau pasar raya,” katanya lagi.

Selain menyediakan makanan dan minuman, Airis berkata dia turut menyediakan ubat kutu dan rawatan asas untuk anjing jalanan yang mengalami luka.

Airis menegaskan dia tidak mengotorkan tempat awam ketika memberi makan dan akan membersihkan setiap peralatan yang digunakan, selain akan memakai sarung tangan setiap kali memberi makan.

Ditanya mengenai belanja yang dikeluarkan, wanita itu berkata sebahagiannya menggunakan pendapatan sendiri selain sumbangan orang ramai - sesuatu yang sangat disyukurinya.

Didik anak sejak kecil

Menariknya, Airis juga sering membawa anaknya bersama. Baginya, ia merupakan satu bentuk pendidikan ntuk menanam nilai kasih sayang dan empati sejak dari awal.

Anak perempuannya, Hana, yang kini berusia tiga tahun, dilihat selesa dan tidak kekok bersama anjing-anjing tersebut.

Airis menyuarakan harapan agar anaknya membesar sebagai individu yang mampu membuka mata masyarakat bahawa berbuat baik kepada haiwan merupakan satu amalan yang mulia.

Namun, perjalanan ini bukanlah tanpa cabarannya yang tersendiri. Kekangan masa menjadi cabarab terbesar buat Airis yang perlu mengimbangi peranan sebagai isteri, ibu dan wanita bekerjaya.

“Saya sedikit bergelut untuk membahagikan masa, tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk terus memberi makan kepada mereka. Itu janji saya dengan diri sendiri.”

Sebagai seorang Muslim, Airis menegaskan keprihatinan terhadap haiwan tidak bercanggah dengan tuntutan agama. Walaupun menggunakan sarung tangan, dia tetap mengelak daripada terkena air liur anjing, serta melakukan sertu selepas selesai memberi makan.

“Islam mengajar kita berbuat baik kepada semua jenis haiwan kerana mereka juga makhluk Allah,” katanya.

Suami penyokong utama

Selain itu, sokongan suami turut menjadi kekuatan utama Airis. Azri Salman, 30, turut mempunyai rasa kasih sayang terhadap haiwan.

Walaupun pada mulanya Azri kurang selesa dengan anjing, kata Airis, lelaki itu kini menjadi penyokong paling kuat dan ada kala dia sendiri yang mengajaknya untuk keluar memberi makan.

Mengakhiri perkongsian, Airis menyeru masyarakat agar tidak menghalang usaha kebaikan orang lain.

“Jika kita tidak mampu berbuat baik, jangan menghalang orang lain. Jika tiada perkara baik hendak dikatakan, lebih baik diam. Jika anda tidak suka anjing atau mana-mana haiwan, janganlah sampai mendera mereka,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS