Dua senator daripada parti berlainan mengemukakan satu rang undang-undang pada Selasa bagi menghalang Amerika Syarikat (AS) daripada menduduki atau merampas wilayah sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), susulan kenyataan berulang Presiden Donald Trump mengenai hasrat memperoleh Greenland atas faktor keselamatan negara, lapor Anadolu Ajansi.
Perundangan berkenaan, yang dikenali sebagai Akta Perlindungan Perpaduan Nato, diperkenalkan oleh Senator Demokrat Jeanne Shaheen dan Senator Republikan Lisa Murkowski.
Rang undang-undang (RUU) itu akan melarang penggunaan dana Pentagon atau Jabatan Negara untuk menyekat, menduduki, merampas, menjalankan operasi ketenteraan, atau sebaliknya menegaskan kawalan ke atas wilayah berdaulat anggota Nato tanpa persetujuan negara berkenaan.
“Sebarang cadangan bahawa Amerika Syarikat mungkin menggunakan kuasanya untuk merampas atau mengawal wilayah sekutu Nato akan secara langsung menjejaskan pakatan yang menjamin keselamatan rakyat Amerika, selain memberi kelebihan kepada musuh kita,” kata Shaheen dalam satu kenyataan.
Rang undang-undang ini menghantar mesej jelas bahawa retorik baru-baru ini mengenai Greenland sangat menjejaskan kepentingan keselamatan nasional Amerika sendiri dan menghadapi tentangan dwipartisan di Kongres,” katanya.
Murkowski pula berkata "tanggapan bahawa Amerika akan menggunakan sumber yang luas terhadap sekutu sendiri adalah amat membimbangkan dan mesti ditolak sepenuhnya oleh Kongres melalui undang-undang."
Pada Ahad, Trump berkata AS mesti "memperoleh" Greenland bagi menghalang pulau itu diambil alih oleh Rusia atau China. Beliau sebelum ini menyifatkan pemilikan Greenland sebagai satu "keperluan mutlak" untuk keselamatan ekonomi AS, dan mengibaratkannya seperti "perjanjian hartanah yang besar."
Greenland, sebuah wilayah tadbir sendiri di bawah Kerajaan Denmark, telah menarik minat AS disebabkan lokasi strategiknya serta sumber mineral yang luas.
Denmark dan Greenland telah menolak cadangan untuk menjual wilayah itu, serta mengesahkan semula kedaulatan Denmark ke atas pulau berkenaan.
- Bernama-Anadolu
