Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS pelik pelan ‘Islam luar politik’ Zahid, ingatkan DAP dalam kabinet
Diterbitkan:  Jan 14, 2026 12:13 PM
Dikemaskini: 7:43 AM
2

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, mempertikaikan cadangan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang mahu menubuhkan sebuah organisasi berteraskan agenda Islam di luar kerangka politik kepartian.

Sambil mempersoalkan kewajaran langkah itu, Idris yang juga adalah pesuruhjaya PAS Perak berkata, PAS sedang berkembang dan kekal dengan pendirian bahawa perjuangan Islam perlu dilaksanakan secara terbuka di pentas demokrasi.

“Saya agak pelik apabila (Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Umno bersedia mengundang PAS untuk bergabung dalam sebuah organisasi yang memfokuskan agenda Islam di luar politik dan cadangan itu pula diluluskan dalam Kabinet. Aik, biar betul?

“Sejak bila agenda politik kepartian perlu mendapat kelulusan Kabinet? “ soalnya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Semalam Ahmad Zahid bekata dia akan mengumumkan penubuhan sebuah organisasi di luar lingkungan politik pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU), Sabtu ini.

Menurut timbalan perdana menteri itu, penubuhan organisasi berkenaan adalah cadangan dirinya sendiri dan telah mendapat kelulusan kabinet.

Idiris seterus menyindir kedudukan Umno sebagai parti yang suatu ketika dahulu dianggap “abang long” dalam politik Melayu.

Dia turut mempersoalkan mengapa Umno, yang mendakwa mempunyai keahlian sekitar 3.5 juta orang, masih perlu mendapatkan restu kabinet bagi melaksanakan agenda berkait Islam, sedangkan jemaah menteri dianggotai menteri-menteri DAP — parti yang sering menjadi sasaran kritikan Umno sendiri dalam isu Islam dan Melayu.

“Kami di PAS berjuang di pentas demokrasi, bercakap soal Islam tanpa perlu kelulusan sesiapa, dan menyerahkan penilaian akhir kepada rakyat,” katanya.

Kenyataan Idris itu hadir di tengah polemik susulan ucapan Zahid yang turut menyarankan PAS sepatutnya “terbubar” sekiranya Umno benar-benar menukar dasar parti kepada Islam, dengan memetik pandangan Allahyarham Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Apabila almarhum Tok Guru Nik Aziz menyebut perkara itu, saya anggap sebagai wasiat.

“Perkara pertama yang saya lakukan selepas mengambil alih kepimpinan Umno ialah meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan Umno tetapi PAS belum terbubar lagi, saya anggap (PAS) akan terbubar dengan sendiri,” kata Zahid.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, Ahmad Fadhli Shaari, dalam respons berasingan, malam semalam menyifatkan hujah Zahid itu sebagai tidak relevan dengan konteks semasa dan wajar dilihat mengikut zamannya.

Fadhli mengingatkan bahawa Umno sendiri pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan keras pada masa lalu, termasuk amaran bekas presidennya, Najib Razak, bahawa orang Melayu akan menjadi “bangsat” jika Umno kalah — sesuatu yang menurutnya tidak terbukti meskipun Umno tewas pada PRU14 dan hanya memenangi 26 kerusi Parlimen pada PRU15.

“Jika benar Melayu sedang merosot seperti didakwa, apa yang sedang Umno lakukan untuk memartabatkan Melayu selain bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan?” soal Fadhli.

Dia juga membangkitkan soal konsistensi Zahid, termasuk sumpah presiden Umno itu yang sebelum ini berikrar tidak akan bekerjasama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan DAP, namun akhirnya berada dalam kerajaan Madani hari ini.

Dalam kenyataannya, Idris turut membandingkan prestasi pilihan raya kedua-dua parti, dengan menegaskan PAS kini muncul sebagai parti terbesar di Dewan Rakyat selepas PRU15 dengan 43 kerusi Parlimen, manakala Umno terus menunjukkan trend kemerosotan sejak kemuncak pada 2004.

Dia turut menyenaraikan pencapaian kerusi Parlimen Umno dalam beberapa pilihan raya umum lalu.

  • PRU 2004: 109 kerusi

  • PRU 2008: 79 kerusi

  • PRU 2013: 88 kerusi

  • PRU 2018: 54 kerusi

  • PRU 2022 (PRU15): 26 kerusi

“Trendnya jelas. Umno berada di puncak pada PRU2004 dan kemudian menurun secara berperingkat sehingga hanya 26 kerusi pada PRU15.

“Saya tidak berniat untuk bersikap kasar terhadap Umno. Masih ramai akar umbi Umno yang ikhlas dan berminat bersama PAS dalam perjuangan perpaduan ummah,” katanya sambil menambah atas alasan itu PAS tidak melihat keperluan mengasingkan perjuangan Islam daripada politik atau tunduk kepada rundingan elit di peringkat Kabinet.

“Biar kita berlawan hujah, idea dan akhlak. Bukan berlawan bertumbuk atau baling kerusi,” katanya, sambil menegaskan bahawa rakyatlah yang berhak menentukan siapa yang layak memimpin negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS