Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PKR pertahan semakan keputusan Akta Perhimpunan Aman
Diterbitkan:  Jan 14, 2026 12:22 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Pemuda PKR mempertahankan langkah Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 sebagai tidak berperlembagaan.

Dalam satu kenyataan, ketua Biro Perundangan dan Aduan Awam sayap itu, Khairul Naim Rafidi berkata permohonan semakan di bawah Peraturan 137 Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 tidak boleh ditafsirkan sebagai percubaan untuk menghidupkan semula pendakwaan atau sebagai campur tangan eksekutif.

Dia berkata mengaitkan permohonan Peguam Negara secara langsung kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga tidak selaras dengan prinsip perlembagaan pemisahan kuasa.

"Oleh itu, tindakan memfailkan permohonan semakan di bawah Kaedah 137 tidak boleh dengan sendirinya ditafsirkan sebagai usaha menghidupkan semula pendakwaan atau sebagai campur tangan eksekutif.

"Mengaitkan permohonan undang-undang ini secara langsung dengan perdana menteri adalah tidak selari dengan prinsip pengasingan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Khairul Naim mengulas kenyataan aktivis Amir Hariri Abdul Hadi semalam yang mengkritik permohonan semakan AGC, berhubung pertuduhan bekas setiausaha agung Muda itu di bawah Akta tersebut, yang telah digugurkan.

Semalam, Amir, yang mempersoalkan komitmen Anwar terhadap pembaharuan, menyifatkan permohonan semakan AGC sebagai pengkhianatan terhadap komitmen reformasi Presiden PKR yang dibuat sebelum dipilih ke dalam kerajaan.

Dia juga meletakkan kesalahan atas keputusan itu secara langsung pada Anwar, kerana AGC berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, Khairul Naim menekankan bahawa Kaedah 137 adalah peruntukan yang sah tetapi “bersifat sangat terhad”, dan hanya membenarkan Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan semakan dalam keadaan yang benar-benar luar biasa.

Dia berkata permohonan di bawah peraturan ini tidak dianggap sebagai pendengaran semula atau rayuan baru, dan tidak membenarkan mahkamah menyemak semula merit keputusan, penemuan fakta, atau tafsiran undang-undang yang telah ditentukan.

"Prinsip ini selari dengan doktrin finaliti litigasi, iaitu bahawa sesuatu pertikaian undang-undang mesti sampai ke noktah penamat," katanya.

Khairul Naim menambah bahawa Peraturan 137, apabila dibaca bersama kuasa sedia ada mahkamah, hanya boleh digunakan untuk mencegah ketidakadilan yang serius atau penyalahgunaan proses, seperti pelanggaran keadilan semula jadi atau kewujudan berat sebelah.

Sama ada ambang undang-undang dipenuhi, katanya, adalah kuasa mutlak Mahkamah Persekutuan.

Pemuda PKR, tambahnya, percaya bahawa pembaharuan tulen memerlukan penghormatan terhadap proses kehakiman yang sah dan kebebasan badan kehakiman dalam melaksanakan fungsi perlembagaannya, walaupun dalam situasi mencabar dan sensitif.

"Perbezaan pandangan politik tidak wajar dijadikan asas untuk mendakwa bahawa keseluruhan agenda reformasi telah dikhianati selagi proses undang-undang masih berjalan dan tertakluk sepenuhnya kepada keputusan mahkamah," katanya.

Pada Julai tahun lepas, panel lima hakim yang diketuai oleh ketua hakim ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat, telah menyampaikan keputusan sebulat suara yang menyifatkan Seksyen 9(5) APA tidak berperlembagaan.

Tengku Maimun berkata Seksyen 9(5) APA mengenakan hukuman yang melebihi had yang dibenarkan di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Cabaran itu dikemukakan oleh Amir, yang telah didakwa atas dakwaan kegagalan untuk memaklumkan pihak berkuasa sebelum mengadakan protes mengenai isu kapal tempur pesisir pada tahun 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS