Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN l Kagat bukan sekadar jabatan agama tentera

ULASAN l Pertama sekali, saya memohon maaf sekiranya perkongsian ini mengguris perasaan mana-mana pihak. Saya juga bukan insan yang sempurna, kerana tiada yang maksum melainkan Rasulullah SAW.

Perkongsian ini lahir daripada secebis pengalaman perkhidmatan saya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih berbaki, dengan niat untuk berkongsi pengajaran, bukan membuka aib sesiapa.

Pada awal perkhidmatan dahulu, saya ditempatkan di sebuah unit infantri yang ketika itu dikenali oleh sesetengah unit lain sebagai “PULAYEH” iaitu singkatan sinis kepada Pusat Latihan Yeyeh.

Sejak hari-hari awal, hampir setiap minggu terdapat aktiviti berpesta dan berhibur di mess serta bar, dengan suasana yang jelas bercanggah dengan nilai ketenteraan dan agama.

Ketika itu saya masih YO (pegawai muda), dan saya diarahkan supaya hanya berada di bilik serta tidak terlibat. Arahan tersebut saya syukuri sebagai satu nikmat perlindungan daripada Allah Azzawajal.

Ada ketikanya saya terserempak dengan mereka sewaktu pulang dari masjid ke mess, masih berjubah dan terus ke mess maka akibatnya saya dipanggil menghadap Pegawai Atasan keesokan harinya bermulalah pelbagai episod dan sandiwara.

Pernah juga terhidu bau arak semasa perbarisan pagi, malah ada pegawai yang membawa wanita ke dalam bilik. Dengan segala risiko yang saya sedari, saya tetap mengetuk pintu biliknya dan memberikan peringatan walaupun beliau jauh lebih senior. Niat saya hanya satu agar dia berubah.

Tidak semua berubah

Namun saya sedar sikap dan pendirian tersebut tidak datang tanpa ujian. Sepanjang perkhidmatan, saya sendiri pernah dikenakan pelbagai bentuk hukuman dan tindakan disiplin.

Ada yang saya terima dengan lapang dada, ada yang sangat berat untuk ditanggung. Saya yakin dan percaya, Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengadili, dan setiap ujian itu mendidik jiwa saya untuk lebih sabar, lebih berhati-hati dan lebih bergantung hanya kepadaNya.

Hakikatnya, tidak semua berubah. Ada yang akhirnya diberhentikan, ada yang dinasihatkan bersara kerana pelbagai kes besar yang lain. Biar Allah yang mengadili. Namun saya juga menyaksikan kisah seorang pegawai, sebelum membaca al-Quran dalam pertandingan musabaqah (tilawah al-Quran), sempat meneguk minuman haram. Namun hari ini, beliau telah berubah dan menjadi pengerusi sebuah masjid.

Beberapa tahun lepas, apabila saya dan keluarga berkesempatan bermalam kembali di kem tersebut, suasananya telah jauh berubah, lebih tertib, lebih beradab dan lebih terpelihara. Syukur kepada Allah, ramai yang telah insaf dan kembali kepada fitrah.

Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) bukan sekadar Jabatan Agama seperti yang disalahfahami sesetengah pihak. Kami bergerak seiring dengan warga ATM: masuk operasi, menggali kubu, memegang senjata, berkawad dan menjalani latihan yang sama. Dalam masa yang sama, kami memikul amanah memperkukuh kerohanian warga tentera.

Dalam konteks dasar dan polisi pula, peranan Kagat melalui penglibatan dalam Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) dan Jawatankuasa Penerapan Nilai-Nilai Islam (JIPNI) telah banyak diusulkan dan dibincangkan secara berstruktur.

Kekuatan jiwa dan akhlak

Isu-isu ini telah saya huraikan dan masukkan secara akademik dalam tugasan salah satu mata pelajaran peringkat Sarjana (Master), antaranya melibatkan:

- Etika dan pematuhan pemakaian anggota wanita
- Larangan peminuman arak di kawasan kem
- Pemansuhan upacara merenjis tawar senjata dan panji
- Isu perkahwinan pegawai dan anggota
- Pemansuhan upacara lintasan kapal tentera di garisan khatulistiwa.

Serta beberapa lagi isu berkaitan penerapan nilai Islam dalam organisasi ketenteraan.

Kagat juga menganjurkan pelbagai program kerohanian seperti pembudayaan al-Quran, Kursus Pendidikan Fardu Ain, Kursus Karismatik Kepimpinan serta pelbagai kursus pembangunan rohani yang lain.

Matlamatnya jelas iaitu membentuk dan memperkukuh Spiritual Combat Power dalam kalangan warga ATM, kerana umum mengetahui kekuatan tentera bukan hanya terletak pada senjata, tetapi juga pada kekuatan jiwa dan akhlak.

Alhamdulillah, saya menyaksikan sendiri ramai panglima, pegawai dan anggota yang istiqamah solat berjemaah, berpuasa Isnin dan Khamis, menjaga solat dhuha, dan saya yakin ada yang bangun bertahajud pada malam hari.

Bahkan, tidak berlebihan jika saya katakan ada antara mereka yang lebih warak daripada sebahagian individu yang bergelar “ustaz”. Ada juga panglima dan pegawai kanan yang telah berpencen, namun hingga kini masih belajar mengaji bersama saya secara dalam talian.

Paling membanggakan saya seorang anggota infantri yang mula mengaji dengan saya sewaktu operasi selama tiga bulan di Sabah telah diangkat menjadi imam di kampungnya. Alhamdulillah.

Hakikatnya hasil tersebut bukan sekelip mata, ia adalah penyampaian nasihat yang berterusan, amalan dan panduan yang disampaikan khususnya dari para Kagat sesuai dari matlamat awal penubuhannya sejak dari 1985.

Sesungguhnya ujian datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan pangkat dan kesombongan, ada yang diuji dengan harta serta ketamakan, ada yang diuji dengan ilmu dan keangkuhan, ada yang diuji dengan kuasa dan amanah kepimpinan, ada yang diuji dengan pujian, sanjungan dan populariti, ada yang diuji dengan keadilan ketika berada di tampuk kuasa, dan ada juga yang diuji dengan nikmat istiqamah agar tidak timbul rasa ujub dan riak.

Kejayaan sebenar telah Allah jelaskan:

“Maka sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dialah orang yang berjaya.”

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Inilah hakikat peranan Kagat. Ibarat sebuah keluarga yang saling mengingatkan, agar kita semua berjaya bukan sahaja di dunia, tetapi hingga ke penghujung kehidupan.

Sebab itu hari ini, isu-isu “yeye” hampir tidak lagi kedengaran, melainkan secara terpencil. Sama-sama kita doakan agar Allah mengampuni dosa kita semua, memelihara seluruh warga ATM khususnya dan negara Malaysia amnya, menyatukan hati-hati kita serta mengurniakan keberkatan dan penjagaan yang sebaik baik daripadaNya. Allahumma Amin.


SHAFARIF GHANI merupakan pegawai Kor Agama Angkatan Tentera yang sedang melanjutkan pelajaran di Riyadh, Arab Saudi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS