PANDUANKINI | Isu penternakan babi di Tanjung Sepat di Selangor baru-baru ini mengundang perhatian ramai apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah mencabar para wakil rakyat negeri itu supaya tinggal berhampiran ladang babi bagi merasai sendiri masalah yang disebabkannya.
Baginda campur susulan perhimpunan aman oleh lebih 200 penternak babi dan pihak berkepentingan yang menggesa kerajaan melonggarkan syarat-syarat yang didakwa terlalu ketat.
Panduankini kali ini bertujuan memberi pemahaman yang lebih jelas mengenai perkara ini, yang bermula sejak awal tahun lalu.
Apa berlaku awal tahun lalu?
Terdapat 114 ladang babi berlesen di Tanjung Sepat, yang terletak di daerah Kuala Langat. Kebanyakannya telah beroperasi di kawasan tersebut selama lebih 60 tahun dan merupakan perusahaan keluarga merentas generasi.
Pada Januari 2025, wabak Demam Babi Afrika (African Swine Fever, ASF) menular di kawasan itu.

Pada 22 Januari tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (JPV) menerima laporan mengenai kes disyaki ASF di beberapa ladang babi di Sepang dan Kuala Langat. Ia membawa kepada ujian berskala besar dan seterusnya pelupusan babi selepas jangkitan disahkan berlaku.
Pengarah JPV Selangor, Hassuzana Khalil, ketika itu berkata daripada 114 ladang yang dijalankan ujian, 56 ladang atau kira-kira 49 peratus didapati positif. Susulan itu, perintah pelupusan dikeluarkan di bawah Seksyen 19 Akta Binatang 1953.
Ahli Persatuan Penternak Babi Kuala Langat, Lim Hock Meng, pada 9 Januari tahun ini berkata pihak berkuasa telah melupuskan babi milik lebih 70 penternak dalam tempoh lapan bulan antara 30 Januari hingga 23 Ogos tahun lalu bagi membendung penyakit tersebut.
Mengapa timbul kontroversi mutakhir ini?
Sebelum ini, ladang babi di Tanjung Sepat diwajibkan mempunyai lesen JPV yang diperbaharui setiap tahun. Namun sejak Jun tahun lalu, lesen tersebut tidak lagi diperbaharui, menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi secara sah selepas 1 Januari tahun ini.
Pada 7 Januari lalu, Exco kerajaan Selangor, Ng Sze Han, mendedahkan bahawa selepas menerima rayuan daripada para penternak, dia segera menghubungi Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, dan JPV, serta turut membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Exco.

“Selepas perbincangan pelbagai pihak, JPV bersetuju bahawa selagi langkah pencegahan dan kawalan penyakit dipatuhi, pihaknya tidak akan membantah dan akan meluluskan permohonan lanjutan lesen para penternak,” katanya.
Sehari kemudian, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, mengumumkan selagi ladang memenuhi syarat ia tertutup sepenuhnya, sifar pelepasan, dan mengekalkan zon penampan dalam tempoh setahun, mereka boleh memohon untuk memperbaharui lesen setiap enam bulan dengan syarat tambahan, iaitu tiada wabak demam babi berlaku di ladang tersebut.
Projek Bukit Tagar
Dalam sidang media pada 8 Januari lalu, Izham turut mencadangkan penyelesaian jangka panjang, iaitu memindahkan ladang babi di Selangor ke Bukit Tagar di daerah Hulu Selangor secara berfasa dalam tempoh tiga tahun agar penternakan babi dijalankan secara berpusat.
Izham berkata tapak tersebut dijangka meliputi kawasan seluas kira-kira 202 hektar, bersamaan 283 padang bola sepak, dan mungkin diwartakan sebagai tanah persendirian untuk tujuan penternakan babi.
Dia menegaskan projek Bukit Tagar akan mengguna pakai model penternakan moden dan berteknologi tinggi bagi menyelesaikan masalah pencemaran yang telah lama membelenggu penduduk, termasuk:
Operasi tertutup: Menggunakan reban tertutup untuk meningkatkan tahap keselamatan bio.
Sifar pelepasan: Melarang sepenuhnya pelepasan air sisa ke sungai melalui rawatan menyeluruh.
Sisa dijadikan tenaga: Menukar sisa ternakan kepada biogas untuk menjana elektrik.
Zon penampan: Memilih lokasi jauh dari kawasan perumahan dengan zon penampan mencukupi bagi mengawal bau dan penularan penyakit.
Pada 12 Januari lalu, Izham menjelaskan projek Bukit Tagar adalah inisiatif swasta, manakala kerajaan negeri hanya bertanggungjawab menyelaras kelulusan yang diperlukan.

Dia turut menjelaskan keluasan tapak yang besar diperlukan kerana ladang-ladang baru mesti mempunyai zon penampan; bukan sahaja dengan kawasan luar, malah antara setiap ladang.
Bagaimanapun, konsep kawasan penternakan babi berpusat moden seperti projek Bukit Tagar bukanlah sesuatu yang baru atau tidak dijangka; malah pernah ada pelan awal sebelum ini untuk membinanya di Tumbuk, Tanjung Sepat.
Menurut Izham, idea dan perbincangan mengenai penubuhan kawasan penternakan babi berpusat moden telah wujud di peringkat kerajaan negeri sejak zaman pentadbiran BN.
Sementara itu, Ketua sayap bersekutu Bersatu Selangor, Goh Gaik Meng, bersama beberapa penternak babi berkata kerajaan telah merancang “zon penternakan babi berpusat moden” di Tumbuk seawal 22 tahun lalu.
Ketika itu, para penternak menandatangani surat sokongan dan bersetuju untuk berpindah, namun pelan tersebut tidak pernah direalisasikan.
Kenapa penternak berhimpun?
Lebih 200 penternak babi dan pihak berkepentingan industri berkaitan berhimpun di hadapan Persatuan Penternak Babi Kuala Langat pada 9 Januari lalu bagi membantah syarat yang disifatkan terlalu ketat dan menggesa kerajaan melonggarkannya.

Menurut mereka, tanpa peruntukan kewangan atau pakej sokongan teknikal daripada kerajaan, mereka tidak boleh diharapkan untuk menanggung sendiri kos pengubahsuaian yang mahal dalam tempoh singkat kerana ia adalah “sesuatu yang mustahil”.
Para penternak juga berkata mereka masih belum menerima satu sen pun pampasan bagi operasi pelupusan ASF tahun lalu. Selepas mengalami kerugian besar, mereka bertambah kecewa kerana dipaksa menanggung kos transformasi yang tinggi.
Bekas Exco Selangor, Ronnie Liu, berkata langkah mewajibkan penternak babi kecil dan sederhana membiayai sendiri transformasi tanpa dana awam, penyelesaian teknikal bersepadu dan infrastruktur yang dipacu kerajaan, adalah sama seperti membungkus langkah “penghapusan” dengan “perlindungan alam sekitar”
Para penternak turut mempersoalkan mengapa kerajaan mewajibkan mereka membuat pelaburan besar untuk menaik taraf kemudahan sedia ada dalam tempoh hanya satu hingga tiga tahun sedangkan mereka akhirnya tetap perlu berpindah ke Bukit Tagar. Mereka menganggap perkara ini sangat tidak munasabah.

Mereka juga bimbang pengurangan tempoh sah lesen daripada setahun kepada enam bulan, ditambah dengan kemungkinan wujud “tempoh jurang” sebelum pemindahan pada 2029, mencetuskan ketidaktentuan terhadap operasi masa depan.
Selain itu, mereka mendakwa walaupun kerajaan mencadangkan keperluan untuk pemodenan, ia gagal menyediakan pelan induk atau piawaian reka bentuk yang jelas untuk dijadikan rujukan, dan itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan mereka.
Selain penternak babi, pemain industri makanan ternakan, pengangkut dan peniaga makanan siap juga menyertai perhimpunan aman tersebut. Mereka bimbang harga daging babi akan terus meningkat dan menjejaskan perniagaan mereka.
Titah Sultan Selangor
Sehari selepas perhimpunan awam penternak babi, keadaan berubah secara ketara.
Pada 10 Januari, Sultan Sharafuddin mengeluarkan titah melalui pejabat baginda, dengan tegas menentang pembaharuan lesen ladang babi di Tanjung Sepat. Baginda turut mencabar para Adun supaya tinggal berhampiran ladang babi bagi merasai sendiri masalah di sana.
Baginda tidak bersetuju dengan langkah menjadikan Kuala Langat sebagai tapak sementara sebelum industri penternakan babi berpindah ke Bukit Tagar, kerana bimbang pencemaran yang telah berlarutan selama 16 tahun akan menjadi semakin buruk.
Baginda turut mempersoalkan jika ada unsur rasuah atau konflik kepentingan dalam perancangan Bukit Tagar, dengan membayangkan kemungkinan ahli politik atau ahli perniagaan mendapat manfaat daripadanya.
Sultan Sharafuddin juga mengkritik projek penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport, sambil menyatakan ia tidak sesuai untuk sebuah negeri yang majoriti penduduknya beragama Islam serta menjejaskan keharmonian sosial.
Baginda turut bertitah bahawa penduduk Kuala Langat telah lama menanggung masalah bau busuk, pencemaran sungai dan lalat, yang menjejaskan kualiti hidup mereka — masalah yang wujud sejak 2010 dan belum diselesaikan sepenuhnya.
Sultan Sharafuddin turut menyatakan bahawa istana baginda sendiri terletak berhampiran dan turut terjejas oleh bau dari ladang-ladang babi tersebut.
Pada hari yang sama sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menjelaskan Izham akan menghadap Sultan Sharafuddin bagi mempersembahkan perincian keputusan mesyuara Exco, termasuk langkah-langkah memperkukuh penguatkuasaan keselamatan alam sekitar dan kebersihan.
Selepas Izham menghadap
Selepas diberi taklimat oleh kerajaan Selangor pada Isnin (12 Januari), Sultan Selangor menitahkan bahawa ladang-ladang babi di Tanjung Sepat mesti menghentikan operasi secara berperingkat dan berpindah ke Bukit Tagar.

Selain itu, skala penternakan babi hendaklah dihadkan kepada keperluan domestik sahaja dan bukan untuk eksport.
Baginda juga memerintahkan kerajaan negeri supaya tidak menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau pelaburan bagi aktiviti penternakan babi.
Susulan pertemuan itu, Izham mengadakan sidang media dan menjelaskan bahawa selepas penjelasan diberikan, rancangan kerajaan negeri dan cadangan Sultan pada asasnya adalah selari.
Beliau menyifatkan rasa tidak puas hati baginda sebelum ini ekoran kegagalannya sendiri untuk menerangkan perkara tersebut dengan jelas.
Katanya, tempoh penampan yang disebut sebelum ini kini dimansuhkan, dan ladang-ladang babi sedia ada di Kuala Langat dan Sepang mesti berpindah serta-merta secara berperingkat mulai tahun ini. Selepas itu, mereka dibenarkan memohon pembaharuan lesen tahunan.
Dia berkata kerajaan negeri akan bertanggungjawab menyelaras dan mempermudah proses bagi menyelesaikan isu tanah secepat mungkin supaya ladang-ladang babi dapat berpindah ke Bukit Tagar lebih awal.
Dia juga menjelaskan semasa wabak demam babi tahun lalu, pengeluaran ladang babi di Selangor hanya memenuhi 60 peratus keperluan negeri, dan kini menurun kepada 30 peratus, sekali gus menafikan dakwaan pembangkang bahawa ia “untuk eksport”.
Katanya lagi, isu ladang babi di Tanjung Sepat bukanlah isu baru, sebaliknya telah wujud sejak era BN, dan menegaskan ia tidak seharusnya digunakan untuk menyerang PH dengan mendakwa ia adalah isu yang dicetuskan oleh pentadbiran semasa.
