PN Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya lima lagi kerusi DUN yang dikenal pasti berpotensi dimenangi bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan PN Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, ada antara kerusi berkenaan akan ditandingi Bersatu dan Gerakan dengan sasaran PN dapat memperoleh majoriti mudah.
"Kerusi tumpuan ini membabitkan DUN yang kita kalah dengan majoriti kurang daripada 1,000 semasa pilihan raya umum yang lalu," katanya ketika ditemui di pusat khidmat DUN Panching, Kuantan hari ini.
Malaysiakini difahamkan DUN berkenaan ialah Tioman, Padang Tengku, Sabai, Ketari dan Chini.
Justeru kata MOhd Tarmizi, program PN Teraju Pahang (PTP) yang telah bermula di DUN Kuala Semantan akan diperhebatkan dan selepas ini akan diteruskan di DUN Chini.
"Bagi jelajah PTP ini, kita bergerak sebagai satu pasukan.
"Tahun lepas kita buat 'Hogoh Jelai' dan kerusi itu kalau dikira sebagai tempat Bersatu (bertanding), tapi semua parti komponen turun padang," jelasnya.
Menurutnya, sebagai langkah awal memperkukuh jentera, PN Pahang memberi tempoh sebulan untuk melengkapkan pelantikan ketua gabungan dan ahli jawatankuasa (AJK) di kesemua 14 Parlimen di negeri ini.
"Kita perlu selesaikan pelantikan ketua di setiap parlimen. Di Pahang ada 14 kawasan (parlimen) dan bersekali dengan AJK.
“Selepas selesai, kita fokus kepada pelbagai program yang sudah kita buat sebelum ini seperti menambah ahli baru,” katanya.
Kemelut Bersatu tak jejaskan PN Pahang
Mengulas isu kemelut dalaman Bersatu di peringkat nasional, Mohd Tarmizi menegaskan perkara itu tidak menjejaskan kerjasama PN di Pahang.
"Kita pun tidak pernah bincang dalam mesyuarat (PN) negeri, cuma untuk PN Pahang, hubungan kami tidak ada masalah," katanya yang merupakan Adun Panching selama dua penggal.
Sementara itu, Mohd Tarmizi turut menyuarakan kekecewaan terhadap pelantikan penyelaras DUN oleh kerajaan negeri di kawasan yang dimenangi pembangkang, termasuk di DUN Panching, yang disifatkannya bercanggah dengan prinsip demokrasi.
"Kita (wakil rakyat) yang dipilih, dinafikan peruntukan dan mereka lantik penyelaras DUN untuk kawasan dimenangi pembangkang, ia seperti melanggar perlembagaan.
"Alasan kononnya wakil rakyat pembangkang tidak layak menerima peruntukan adalah tidak berasas kerana prinsip demokrasi menjamin hak setiap kawasan yang dipilih oleh rakyat, tanpa mengira parti politik," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Penyelaras DUN Panching yang baru dilantik, Hasrul Afizan Mohd Din, mengakui berdepan cabaran besar untuk merampas semula kerusi itu daripada PAS pada PRU16, susulan majoriti lebih 7,000 undi yang dimenangi penyandang.

Dia berkata, pendekatan turun padang secara berterusan serta penggunaan media sosial, khususnya TikTok, akan menjadi strategi utama bagi mendekati pengundi, terutama golongan muda.
"Saya fikir pendekatan utama adalah kena banyak turun padang menyantuni dan berjumpa secara terus dengan penduduk, seberapa ramai yang kita boleh kerana ia lebih memberi kesan secara langsung.
"Dalam masa yang sama, saya lihat kepentingan platform media sosial seperti TikTok," katanya.
Hasrul yang juga Ketua Penerangan Umno Paya Besar berkata pengunaan media sosial adalah untuk memperbetulkan persepsi orang ramai mengenai segala tuduhan dibuat pembangkang terhadap kerajaan Pahang.
“Saya percaya rakyat masih yakin dengan BN dan rakyat juga tahu, BN adalah parti yang paling terkedepan memberi bantuan setiap kali musibah melanda," jelasnya.
