Cadangan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, supaya parti itu keluar daripada kerajaan dan bergabung dengan PAS terus mencetuskan perbincangan dalam kalangan ahli parti itu.
Namun, rata-rata pimpinan akar umbi yang ditemui Malaysiakini ketika Perhimpunan Agung Umno hari ini menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan parti.
Adun Dusun Tua, Johan Abd Aziz, menyifatkan cadangan Akmal sebagai pandangan peribadi dan belum pernah dibincangkan secara rasmi dalam parti.
“Itu adalah pandangan peribadinya. Apa-apa mandat yang diberikan kepada Presiden dan Majlis Tertinggi perlu dibincangkan terlebih dahulu,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Johan, perbezaan pandangan dibenarkan dalam Umno, namun semua ahli perlu akur dengan keputusan muktamad yang ditetapkan oleh kepimpinan.
“Apabila keputusan akhirnya dibuat, sebagai ahli, kita perlu mengikut keputusan tersebut.
“Setakat ini, ia belum dibawa untuk perbincangan. Jadi ia masih belum ada sebarang keputusan,” ujarnya.

Baru-baru ini, Akmal yang mempengerusikan Konvensyen Khas Pemuda Umno menggerakkan ahli untuk menyokong gesaannya supaya Umno bersatu dengan PAS sebagai pembangkang dan keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Difahamkan perkara itu turut dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik Umno.
Namun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menolak gesaan tersebut, sebaliknya menegaskan parti itu akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga PRU akan datang.
Susulan itu, Akmal membayangkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno dan Adun Merlimau.
Bagaimanapun dia semalam memaklumkan akan mengumumkan pendiriannya malam ini.
Akmal dilaporkan berkata dia akur dengan sebarang keputusan Ahmad Zahid serta Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, termasuk berkaitan jawatan yang sedang disandangnya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Kapar, Noor Haiza Mariena, berkata dia hadir ke PAU kali ini bagi mendapatkan penjelasan dan maklum balas daripada pimpinan tertinggi berhubung gesaan Akmal agar Umno meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
“Hala tuju yang kita nak dengar adalah daripada Presiden parti untuk menentukan maklum balas berkenaan dengan apa yang telah dinyatakan oleh Ketua Pemuda Umno Malaysia tersebut,” katanya.
Menurutnya, pendirian sama ada Umno perlu kekal dalam kerajaan atau sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh kepimpinan tertinggi.
“Kami sebagai pemimpin akar umbi hari ini hadir untuk dengar mandat daripada presiden dan daripada situ kita tahu ke mana arah kita lepas ini,” katanya.
Pandangan hampir sama disuarakan Setiausaha Politik kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Rizalman Mokhtar, yang menegaskan Umno adalah sebuah parti yang terbuka kepada perbezaan pandangan.

“Sesiapa pun berhak untuk memberi pandangan sebab parti kita sangat terbuka. Tapi akhirnya keputusan itu mesti memastikan kerjasama yang terbaik dan memberi keuntungan kepada parti,” katanya.
Menurutnya, keutamaan Umno ketika ini adalah untuk memperkukuh kekuatan dalaman parti.
“Dalam konteks hari ini, apa yang perlu buat sebenarnya adalah perkukuhkan Umno,” tambahnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Petaling, Radhiah Hussein, pula berkata sebarang keputusan besar parti bukan ditentukan secara individu.

“Ia melibatkan banyak mesyuarat, banyak kerjasama dan banyak pihak. Ia bukan keputusan seorang individu sahaja,” katanya.
Bagaimanapun Radhia percaya ahli Umno akan memberikan sokongan penuh terhadap sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan.
“Kita sebagai Umno menyokong sepenuhnya apa sahaja keputusan Presiden dan kepimpinan parti,” katanya.
