Seorang ahli Parlimen Bersatu yang dipanggil untuk menghadapi prosiding Lembaga Disiplin parti hari ini mempersoalkan penangguhan itu ke satu tarikh yang belum ditentukan, dengan mendakwa wujud “kelemahan” dalam proses yang dikendalikan pengerusinya, Radzi Manan.
Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob, memberitahu Malaysiakini bahawa dirinya, bersama lebih 10 individu lain, pada asalnya dipanggil hadir ke ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya untuk prosiding yang dijadualkan pada jam 3 petang hari ini.
“Penangguhan ini jelas menunjukkan bahawa keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebelum ini bukan sahaja gagal dilaksanakan, malah telah dikhianati.
“Sepanjang keseluruhan proses ini, saya tegaskan bahawa pengurusan Lembaga Disiplin menunjukkan kelemahan yang serius, sama ada dari segi prosedur mahupun merit kes,” kata Fathul Huzir.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan oleh presiden parti Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu, telah memutuskan supaya semua prosiding disiplin yang sedang berjalan dihentikan.
“Itu mungkin menjadi punca penangguhan prosiding hari ini,” tambahnya.
Menurut notis Lembaga Disiplin bertarikh 9 Jan, yang dilihat oleh Malaysiakini, bahawa satu aduan telah dibuat terhadap Fathul Huzir berhubung sidang media yang diadakannya di Ipoh pada 10 Dis tahun lalu bersama beberapa ahli Bersatu lain.
Notis yang ditandatangani oleh Radzi itu juga mendedahkan bahawa seorang pengadu yang tidak dinamakan telah melaporkan Fathul Huzir serta individu lain yang hadir, susulan dakwaan bahawa 14 daripada 24 bahagian Bersatu di Perak telah mendesak Muhyiddin supaya meletakkan jawatan sebagai presiden parti.
“Pengadu mendakwa kenyataan yang dibuat dalam sidang media tersebut adalah satu pembohongan dan telah mencemarkan imej parti,” menurut notis itu.
Sementara itu, Fathul Huzir turut mendedahkan bahawa MPT Bersatu dalam dua mesyuarat berasingan pada November dan Disember tahun lalu telah mencadangkan usaha perdamaian serta penambahbaikan terhadap Lembaga Disiplin.
“Namun, tindakan pemecatan masih diteruskan walaupun cadangan-cadangan ini telah dikemukakan,” katanya.

Antaranya, Lembaga Disiplin pada mesyuarat pada 5 Jan telah memutuskan untuk memecat Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, namun surat yang dikeluarkan keesokan harinya tidak menyatakan kesalahan khusus bekas ahli MPT Bersatu itu.
Merujuk kepada dua cadangan terdahulu MPT serta keputusan terbaharu, Fathul Huzir berkatan tindakan Lembaga Disiplin bersifat selektif, tidak berlandaskan kepentingan parti, dan jelas tidak adil.
“Jika benar wujud keikhlasan untuk menyelesaikan konflik dalaman parti, maka semua tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin mesti dibatalkan sepenuhnya,” tegasnya.
“Keahlian individu yang telah dipecat atau digantung perlu dikembalikan kerana mereka tidak pernah mengkhianati parti.
“Menyokong tokoh kepimpinan selain presiden tidak bercanggah dengan perlembagaan atau peraturan parti,” katanya.
Mesyuarat pertama MPT Bersatu tahun ini diadakan ketika spekulasi mengenai usaha untuk memecat Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, yang walaupun telah menyatakan kesetiaan kepada Muhyiddin, masih berdepan dakwaan cubaan menyokong perubahan kepimpinan parti.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas tengah malam susulan tamatnya mesyuarat selama empat jam itu, Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali mendedahkan bahawa Muhyiddin telah menasihatkan semua ahli parti supaya memelihara disiplin dalaman dan menyelesaikan sebarang perbezaan secara tertutup.
