Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Chegubard persoal kewujudan ‘simulator golf’ di kem tentera Sabah
Diterbitkan:  Jan 14, 2026 6:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, hari ini membangkitkan satu lagi isu melibatkan angkatan tentera, kali ini berhubung dakwaan kewujudan simulator golf di sebuah kem tentera.

Menerusi hantaran di Facebook, Badrul mempersoalkan rasional di sebalik pemasangan sebuah bilik simulator golf di dewan makan pegawai di Kem Tentera Lok Kawi, Sabah.

Ia bersandarkan kepada satu hantaran Facebook oleh Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) — yang kini tidak lagi boleh diakses — yang memaparkan majlis pelancaran kemudahan latihan tersebut pada 8 Januari lalu.

“Batalion Ketiga Rajimen Askar Melayu Diraja bangga mencatat sejarah kononnya merasmikan berjaya membuka Bilik Simulator Golf di Kem Lok Kawi. 

“Apa nak jadi? Dalam keadaan sekarang, kita sama bergelut membawa keluar  Angkatan Tentera Malaysia daripada (dakwaan) kemelut kartel yang membungkam sekian lama. 

“Dalam keadaan kita sama-sama membaiki imej tentera,  kenapa golf menjadi keutamaan,” soalnya.

Aktivis yang lebih dikenali sebagai Chegubard itu turut berkongsi beberapa tangkap layar hantaran media sosial berkaitan di laman Facebook batalion tersebut.

Berdasarkan imej berkenaan, bilik berkenaan dirasmikan oleh pegawai pemerintah batalion.

Ia digambarkan sebagai inisiatif untuk meningkatkan kemahiran bermain golf dalam kalangan pegawai, bertujuan membantu pembangunan profesional mereka, jaringan sosial serta memperkukuh semangat kor.

Malaysiakini telah menghubungi unit perhubungan awam tentera untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara ini.

Isu bekalan air yang berterusan

Badrul seterusnya mendakwa Kem Tentera Lok Kawi berdepan masalah bekalan air.

Dana yang digunakan untuk simulator itu sepatutnya disalurkan kepada perkara yang lebih bermanfaat, katanya.

LLP (tentera lain-lain pangkat) dan pegawai bukan panglima yang duduk dalam kes sedang berdepan perbagai masalah.

“Paling tidak kalau betul ada dana lebih, lawatlah veteran tentera - ramai bergelut dengan pelbagai masalah di luar sana.

“Tak kisahlah dari mana sumber nak buat simulator itu, persoalannya adalah ia bukan keutamaan dan hanya penggalak kepada masalah berbangkit lain,” katanya lagi.

Badrul sejak kebelakangan ini aktif membangkitkan isu berkaitan angkatan tentera.

Antaranya berkenaandakwaan rasuah melibatkan pegawai kanan dan jeneral, yang kemudiannya membawa kepada siasatan oleh SPRM.

Bulan lalu, Badrul mendakwa satu semakan forensik terhadap dokumen yang diterimanya menunjukkan transaksi bulanan berjumlah puluhan ribu ringgit dimasukkan ke dalam akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.

Aduan tersebut menyebabkan pelantikan Panglima Tentera Darat, Hafizuddeain Jantan, sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baru ditangguhkan, walaupun keputusan itu telah dibuat dalam mesyuarat Majlis Angkatan Tentera dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS