Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Apa kewajaran AGC mohon semakan keputusan Akta Perhimpunan Aman?'
Diterbitkan:  Jan 14, 2026 8:39 PM
Dikemaskini: 12:39 PM

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz mempersoalkan kewajaran Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membuat permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 sebagai tidak berperlembagaan.

Ia susulan kenyataan Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd Hadi, yang mendedahkan AGC akan membuat semakan semula dan mengembalikan pendakwaan terhadap kesnya di bawah APA.

“Saya merujuk kepada kenyataan sahabat saya, saudara Amir yang merupakan tertuduh dalam kes berkaitan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Apakah relevan pihak Peguam Negara untuk mengemukakan semakan kehakiman di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan, untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman sebagai tidak berperlembagaan?” soalnya dalam ciapan di X, hari ini.

Sebelum ini, Amir yang juga bekas setiausaha agung Muda, didakwa di bawah Akta tersebut pada 26 Ogos 2022, berhubung penganjuran perhimpunan yang diadakan awal bulan yang sama. Dia bagaimanapun telah dibebaskan daripada pendakwaan itu.

Pada 2024, dia mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar peruntukan APA di Mahkamah Persekutuan, dan mahkamah pada Julai tahun lalu mengisytiharkan peruntukan itu sebagai tidak berperlembagaan dan tidak lagi sah.

Faisal berkata, umum mengetahui tindakan AGC itu bercanggah dengan pendirian cabang eksekutif yang sebelum ini beriltizam untuk meminda APA serta mengenakan moratorium terhadapnya agar tidak lagi dikuatkuasakan, termasuk untuk pendakwaan di mahkamah.

“Maka adakah semakan kehakiman kepada kes ini mempunyai merit yang jelas?

“Pada masa sama, kes ini telah melalui proses mahkamah secara penuh hingga ke peringkat tertinggi, iaitu Mahkamah Persekutuan. Maka keputusan yang dibuat mahkamah harus dihormati,” katanya lagi.

Kata Faisal lagi, dia khuatir jika perkara itu menjadi trend dan dilihat seolah-olah merendahkan kewibawaan badan kehakiman, selain secara tidak langsung menjejaskan prinsip pengasingan kuasa.

“Saya gesa kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri untuk jelaskan bila Akta Perhimpunan Aman ini akan dipinda? 

“Pertemuan dan perbincangan telah dijalankan, kerajaan juga telah nyatakan iltizam namun bila draf pindaan akta ini akan dibentangkan?” soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS