Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid jemput pemimpin yang dipecat, digantung hadir ke PAU - Sumber

Umno sekali lagi membuka peluang kepada bekas pemimpinnya yang digantung keahlian atau dipecat untuk kembali kepada parti itu.

Malah, pada sesi taklimat petang tadi, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menjemput mereka yang ingin kembali untuk hadir ke persidangan parti sebagai pemerhati.

Dalam sesi itu, Zahid turut menjadikan bekas ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, sebagai contoh ahli dan pemimpin yang setia meskipun pernah dipecat oleh parti sebelum ini.

"Presiden memberi isyarat bahawa parti membuka pintu kepada mereka yang dipecat atau digantung untuk kembali kepada Umno.

"Presiden kata dia tak zalim bahkan menjemput mereka untuk hadir ke Perhimpunan Agung Umno sebagai pemerhati.

"Isyarat Zahid itu ke arah memperkukuhkan parti dalam menghadapi PRU-16," kata satu sumber yang enggan namanya disiarkan kepada Malaysiakini.

Ini bukan kali pertama Umno mengambil pendirian untuk menerima ahli yang telah dipecat atau digantung.

Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023, Ahmad Zahid menegaskan parti itu sentiasa terbuka untuk menerima ahli yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka yang digantung atau dipecat.

Pada 30 Okt tahun lalu, media melaporkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, antara yang dikaitkan akan kembali menyertai Umno.

Media melaporkan bekas ahli Parlimen Rembau itu telah mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi Umno, khususnya presiden parti, untuk berbuat demikian.

Sumber berkata, isyarat restu itu disampaikan oleh Zahid kepada Khairy ketika timbalan perdana menteri itu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Rozabil Abdul Rahman.

Bagaimanapun, pada 4 Nov, Zahid enggan mengesahkan perkara itu dan mendakwa Umno belum membincangkan hasrat Khairy untuk menyertai semula parti itu.

“Setakat ini belum lagi,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai hasrat bekas Ketua Pemuda Umno itu.

Mahu kemenangan di Johor, Melaka cetus momentum

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Said, memberitahu bahawa taklimat presiden turut menekankan kesiapsiagaan Umno dan BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Menurut bekas Menteri Besar Terengganu itu, kemenangan kukuh Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka yang akan datang dilihat penting kerana ia berpotensi mencetuskan momentum bagi BN.

“Kita dalam arah memusatkan diri kita bagi menghadapi persediaan menuju PRU16.

“Yang paling hampir ialah (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor, dan kita harap kali ini prestasi BN akan bertambah baik di kedua-dua negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Taklimat Presiden.

Selain persiapan pilihan raya, Ahmad berkata amanat Presiden turut menekankan keperluan memperkukuh solidariti dalam parti serta memastikan Umno berada dalam keadaan stabil ketika negara berdepan cabaran semasa dan ketidaktentuan politik.

Sementara itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Sharkar Shamsudin, pula berkata Zahid akan membahaskan dengan lebih lanjut beberapa isu semasa melibatkan parti itu, termasuk cadangan mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN).

“Selain itu berkaitan dengan konvensyen Pemuda, pilihan raya Sabah dan sebagainya,” katanya ringkas.

Exco Wanita Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid, berkata presiden parti memberi ruang kepada sayap-sayap parti, khususnya Pemuda dan Puteri, untuk mengemukakan pandangan dan usul berkaitan hala tuju Umno menjelang PRU16.

“Kami jangkakan hala tuju yang lebih baik yang dikemukakan oleh perwakilan-perwakilan terutama sekali sayap muda kami daripada Pemuda dan Puteri kerana saya percaya mereka mempunyai usul kemanakah hala tuju yang mereka nak bawa lebih kuat daripada PRU16 nanti,” katanya.

PAU 2025, yang sebelum ini tertangguh dan akan bermula malam ini, dijangka menyaksikan beberapa keputusan yang akan mencuri tumpuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS