PAU 2025 | Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan memberi peringatan kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak mencabar “garis merah” parti itu.
Garis merah itu menurutnya melibatkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Dalam konteks kerjasama politik, Mohamad menegaskan penyertaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan tidak bermakna parti itu akan berkompromi terhadap prinsip asasnya.
“Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. Umno tidak akan diam membisu,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Umno sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di PWTC, malam ini.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut meenegaskan Umno bersedia bekerjasama demi rakyat dan negara, namun akan menentang sesiapa sahaja, sama ada kawan atau lawan, yang cuba mencabar tiga teras utama tersebut.
Dalam usaha menepis persepsi bahawa Umno sekadar mengikut telunjuk rakan gabungan, Mohamad berkata parti itu berperanan memastikan mekanisme semak dan imbang yang berkesan dari dalam kerajaan.
“Dengar sini baik-baik. Jangan siapa-siapa ingat Umno ini ‘melukut di tepi gantang’.
“Umno adalah penyemak imbang (check and balance) yang paling efektif dari dalam kerajaan.
“Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet adalah suara penentu,” katanya.
Tambahnya lagi, Umno sentiasa memastikan tiada dasar melampau atau merugikan orang Melayu diluluskan tanpa tentangan.
Mohamad berkata keputusan Umno untuk kekal dalam kerajaan bukan berpaksikan emosi, sebaliknya dibuat atas pertimbangan tanggungjawab sebagai parti pemerintah yang berpengalaman.
“Kita masuk kabinet untuk bina kestabilan. Kita adalah sauh yang memastikan kapal negara tidak karam. Itu jasa kita kepada rakyat,” katanya.
